[VIDEO] Keputusan batal pingat emas Ziyad kekal

Hasrat Muhammad Ziyad hadiahkan pingat emas kedua kepada kontinjen negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila pingat emas dimenangi dibatalkan selepas dibantah oleh kem Ukraine. - Foto Bernama
Hasrat Muhammad Ziyad hadiahkan pingat emas kedua kepada kontinjen negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila pingat emas dimenangi dibatalkan selepas dibantah oleh kem Ukraine. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR- Keputusan untuk membatalkan pingat emas yang dimenangi jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli kekal.

Rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, telah ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) sebentar tadi.

Ia bermakna, Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.

PENGUMUMAN!! Rayuan ditolak dan keputusan penarikan semula emas Ziyad kekal. It's okay Ziyad. Satu dunia nampak bagaimana anda memecahkan rekod dunia Lontar Peluru F20. Ziyad tetap no. 1 kita!!

Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.

Bagaimanapun, penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di 'call room' (bilik pemeriksaan).

Dalam reaksi pertama susulan pengumuman itu, Ziyad menitipkan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia.

Atlet berusia 31 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepadanya.

Team Malaysia melalui akaun Twitter turut berkata, walaupun keputusan itu bukan yang diinginkan, Muhammad Ziyad tetap juara di hati rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang berharap Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa di hadapi sekarang ini.

Katanya dalam catatan terbaharu di akaun Instagram miliknya, sudah tentu ia bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima, malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah.

Terdahulu, Malaysia mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) berhubung keputusan acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.

Bantahan daripada Kontinjen Malaysia, Australia dan Ecuador akan dibawa ke Mesyuarat Chef de Mission (CDM) pasukan bertanding juga dibawa sekali.

Ketua kontinjennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sebelum itu melakukan protes kepada jawatankuasa teknikal pertandingan berhubung status Muhammad Ziyad yang diklasifikasikan sebagai tidak memulakan aksi (DNS) walaupun melengkapkan lontaran pada saingan akhir, yang berlangsung di Stadium Olimpik di Tokyo.

Ziyad sebelum itu secara tidak rasmi berjaya meraih pingat emas kedua untuk negara dan memecahkan rekod dunia pada acara akhir lontar peluru F-20, menerusi lontaran ketiganya, dengan catatan 17.94 meter.

Kemenangan beliau bagaimanapun dibatalkan selepas atlet Ukraine, Maksym Koval, membuat bantahan.

Kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Muhammad Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.- Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!