Raikan penglibatan generasi muda dalam pembangunan negara

Tangkap layar semasa program Wacana Sinar Harian edisi ke-285 yang bertajuk ‘Merdeka: Dilema Selepas Enam Dekad’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Tangkap layar semasa program Wacana Sinar Harian edisi ke-285 yang bertajuk ‘Merdeka: Dilema Selepas Enam Dekad’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Anak muda generasi kini lebih matang dalam berfikir dan mereka inginkan penglibatan secara langsung dalam pembangunan negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) McPlus Education Sdn Bhd yang lebih dikenali sebagai Sir Shakib.

Menurut beliau, golongan tersebut sebenarnya mempunyai semangat patriotisme yang tinggi namun usaha dan penglibatan mereka dalam pembangunan negara perlu diraikan masyarakat dewasa.

“Kalau nak cakap patriotisme mereka semakin pudar, ia salah. Berdasarkan undian yang dibuat, seramai 25,000 daripada 33,000 pelajar saya ingin merdeka disambut dengan deklamasi puisi yang lebih menyentuh hati berbanding sambutan bersama bunga api.

“Bagi saya, ibu bapa dan guru perlu sebarkan realiti kepada anak-anak muda. Jangan paksa mereka untuk sayangkan negara kerana secara logiknya semua orang pasti ada rasa sayang kepada negara sendiri.

“Cuma bagaimana mereka melahirkan rasa sayang itu sahaja yang berbeza, itu sudah pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Harian edisi ke-285 yang bertajuk Merdeka: Dilema Selepas Enam Dekad yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Sir Shakib
Sir Shakib

Turut menjadi panelis, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian dan Sasterawan serta Budayawan, Dr Lim Swee Tin manakala Edlynna Hanie Hamid selaku moderator.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut tentang kemerdekaan, beliau berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini telah membawa rahmat dan kesabaran untuk golongan anak muda.

“Nilai kemerdekaan untuk pelajar mungkin meningkat sepuluh atau 20 kali ganda tahun ini apabila mereka hilang kebebasan untuk bersama rakan-rakan dan masa remaja mereka.

“Disebabkan kehilangan itulah mereka semakin bersyukur dengan kehidupan dahulu dan kasih sayang yang makin utuh terhadap keluarga sendiri dan mula menghargai masa depan.

“Bagi saya, kemerdekaan pada tahun yang ke-64 ini adalah paling bermakna bagi pelajar di Malaysia,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!