Nur Syaiful simpan tenaga untuk aksi akhir 50m gaya bebas lelaki S5
PERENANG kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli acara renang 50 meter (m) menempah slot ke final gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik di sini, pada Rabu.
Walaupun bermula agak lambat, atlet berusia 26 tahun itu berjaya menampilkan renangan memberangsangkan untuk menamatkan saingan di tempat ketiga pada saringan pertama dengan catatan masa 33.46 saat (s) di Pusat Akuatik Tokyo.
Nur Syaiful berkata, beliau ternyata berpuas hati dapat layak ke final dan akan cuba mempamerkan aksi lebih baik dengan sekurang-kurangnya memperbaiki catatan peribadi dalam saingan akhir dijadual berlangsung pada 7.29 malam (6.29 petang waktu Malaysia).
“Saya mahu simpan tenaga untuk petang ini, itulah sebab saya agak ketinggalan di peringkat permulaan. Insya-ALLAH saya akan lakukan yang terbaik,” katanya kepada Bernama.
Perenang Sarawak itu mencatat masa peribadi terbaik 33.20s dalam satu kejohanan di London pada 2019.
Saingan pada Rabu menyaksikan Nur Syaiful muncul perenang kelima terbaik daripada kedua-dua saringan.
Hanya lapan perenang terbaik daripada dua saringan layak ke final.
Weiyi Yuan dari China yang bertanding dalam saringan kedua muncul perenang terpantas selain memecahkan rekod Paralimpik milik perenang Brazil, Daniel de Faria Dias dengan 32.65s, dilakukan di London 2012, menerusi catatan baharu, 31.30s.
Khamis lepas, Nur Syaiful yang mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada usia 17 tahun, berjaya ke peringkat akhir dalam acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5.
Memulakan aksi di lorong pertama, Nur Syaiful menamatkan renangan di tangga ketujuh daripada lapan pelumba.
Beliau mencatat masa 1 minit 15.12 saat, sekali gus memadam catatan peribadi terdahulu iaitu 1:15.39 di London, United Kingdom pada 2019. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!