Idris pastikan 14 agensi agama capai objektif Keluarga Malaysia
PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu Idris Ahmad akan memastikan kesemua 14 agensi di bawah seliaannya melaksanakan fungsi masing-masing dan bergerak seiring dengan objektif Keluarga Malaysia.
Idris berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama ketua agensi masing-masing di Kompleks Islam Putrajaya petang Rabu bagi membincangkan bagaimana kesemua agensi itu dapat bekerjasama dalam memenuhi aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia.
"Ini (pertemuan) supaya dapat kita memahami tentang fungsi dan tanggungjawab masing-masing bagi membentuk Keluarga Malaysia yang kita harapkan," katanya kepada media selepas melapor diri bagi memulakan tugas secara rasmi di sini hari ini. Turut sama ialah Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Idris merupakan pertama kali dilantik sebagai menteri Pusat manakala Ahmad Marzuk dilantik semula sebagai timbalan menteri di portfolio sama.
Selepas mengimbas kad perakam waktu dan memasuki pejabatnya, Idris dijadualkan menghadiri mesyuarat Kabinet secara maya yang pertama di bawah pentadbiran Ismail Sabri.
Antara 14 agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Yayasan Waqaf Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!