Dua kapal tangki ditahan berlabuh secara haram
JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua kapal tangki yang disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur pada Selasa.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua kapal tangki itu telah ditahan oleh aset Maritim pada kedudukan 17 batu nautika timur laut Tanjung Siang kira-kira jam 5 petang.
"Kapal tangki pertama yang berdaftar dari Mongolia dikendalikan tujuh kru warga Indonesia dan Singapura berumur antara 23 tahun hingga 55 tahun mempunyai pengenalan diri yang sah.
"Kapal tangki kedua pula berdaftar dari Equatorial Guinea, dengan sembilan kru warga Indonesia berumur antara 23 tahun hingga 59 tahun juga mempunyai pengenalan diri yang sah," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Menurut Nurul Hizam, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.
"Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Sejak Operasi Jangkar Haram dilaksanakan pada Mac lalu, jelasnya jumlah kapal yang bersauh secara haram terutama di Tompok Utara didapati telah berkurangan dengan catatan jumlah terendah yang dilaporkan hanya dua buah kapal sahaja berbanding sebelum ini.
"Sebanyak 93 buah kapal telah ditahan bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan negeri Johor sejak awal tahun sehingga kini.
"Penurunan jumlah ini menunjukkan pemilik syarikat perkapalan, ejen kapal, dan nakhoda telah mulai akur dan patuh terhadap penguatkuasaan undang-undang negara.
"Maritim Malaysia akan terus melaksanakan penguatkuasaan di perairan negara tanpa mengira waktu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terpelihara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!