Penganggur didakwa tikam bapa

Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari kenderaan polis menuju ke Mahkamah Sesyen untuk berdepan tuduhan cuba membunuh bapanya.
Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari kenderaan polis menuju ke Mahkamah Sesyen untuk berdepan tuduhan cuba membunuh bapanya.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penganggur yang mempunyai rekod rawatan psikiatri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan cuba membunuh bapanya, Selasa lalu.

Tertuduh, Muhamad Nur Amin Azmail, 28, didakwa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu.

Ahmad Bazli bagaimanapun memerintahkan tertuduh supaya dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bertujuan pemantauan dan pemeriksaan mental tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh bapa kandungnya, Azmail Mohd Salmon, 66, dengan cara menikam pada bahagian leher menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di hadapan Pasar Bachok, Bachok pada jam 10.40 pagi, 28 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wan Nurul Hanini berkata, terdapat keterangan bahawa tertuduh mendapat rawatan psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selama lima tahun.

Artikel Berkaitan:

“Janji temu susulan adalah pada 6 Oktober ini. Saya mohon tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan mental.

“Pendakwaan juga tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan membabitkan kesalahan yang serius,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 30 September ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga emas cedera ditikam oleh anak lelakinya yang dipercayai sakit mental.

Kejadian dipercayai akibat pelaku yang marah kerana tidak suka mendengar tangisan anak saudaranya yang berusia empat tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa cedera ditikam anak sakit mental

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!