Lelaki warga Indonesia mengamuk gara-gara dibuang kerja

Suspek yang ditahan selepas membuat ugutan mahu membakar rumah bekas majikannya di Kampung Siaun Menumbok, Kuala Penyu.
Suspek yang ditahan selepas membuat ugutan mahu membakar rumah bekas majikannya di Kampung Siaun Menumbok, Kuala Penyu.
A
A
A

BEAUFORT - Berang diberhentikan kerja, seorang lelaki bertindak mengamuk dan mengugut mahu membakar rumah bekas majikannya dalam kejadian di Kampung Siaun Menumbok pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, lelaki warga Indonesia berusia 30-an terbabit dikatakan datang ke rumah bekas majikannya dengan membawa parang panjang sambil mengamuk sebelum beredar.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, ketika itu hanya anak lelaki bekas majikannya yang berada di rumah sebelum bertindak menghubungi ayahnya serta membuat laporan polis.

Menurutnya, suspek diberhentikan kerja kerana malas dan disyaki mengambil dadah jenis syabu.

"Beberapa minit kemudian bekas majikannya tiba rumah dan menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek dengan menyatakan akan membakar rumahnya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Yusoff Zaki berkata, hasil siasatan polis berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan di Jalan Kuala Penyu-Menumbok di Kampung Kayul pada jam 7.40 malam.

"Siasatan masih dijalankan dan suspek belum membuat sebarang pengakuan berkenaan kejadian itu.

"Soal siasat akan diteruskan mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!