Pemasangan panel solar PV mampu jimatkan elektrik
IPOH - Pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini, mampu memberi penjimatan penggunaan bil elektrik sehingga RM2.5 juta kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, jumlah penjimatan tersebut adalah bagi tempoh 21 tahun menerusi kontrak Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE).
Menurutnya, pemasangan panel solar itu yang siap sepenuhnya pada hujung Julai lalu merupakan projek pertama MBI dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX Sdn Bhd (GSPARX).
"Penggunaan panel solar PV ini bertepatan dengan usaha MBI untuk mencapai matlamat menjadi bandar raya pintar lestari dan rendah karbon yang bersih, hijau dan lebih maju.
"Malah ia mampu menjimatkan sebanyak RM47,964 bil elektrik pada tahun pertama projek. Pada Ogos 2021, dengan menggunakan sistem solar ini bangunan UTC dapat menjimatkan 22 peratus bil TNB dari data yang direkodkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Projek Solar bersama Ketua Retail Negeri (Perak) TNB, Ir Mohd Azhar Abd Rashid di Bangunan UTC di sini pada Rabu.
Rumaizi berkata, satu Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon telah dihasilkan menerusi kerjasama pelbagai pihak dengan MBI termasuk TNB bagi mencapai tujuan tersebut.
"Kerjasama berkenaan membolehkan Ipoh dibangunkan secara integrasi dan bukan berasingan. Banyak perkara akan dibangunkan untuk warga bandar raya hidup dengan aplikasi teknologi," katanya.
Katanya, penggunaan panel solar itu juga akan diperluaskan di bangunan-bangunan lain milik MBI.
"Kita berusaha untuk tidak menggunakan tenaga berasaskan fosil dan sebagai permulaan kita menggunakan tenaga solar seperti ini.
"Selepas ini, ia mungkin dipasang di kompleks sukan seperti Stadium Perak, Stadium Indera Mulia dan Kompleks Akuatik Tuanku Zara. Panel solar ini digalakkan dipasang di bangunan yang mempunyai kadar penggunaan elektrik yang tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!