Pekerja maut terjatuh ketika baiki bumbung
KLANG - Seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja baik pulih maut selepas terjatuh dari ketinggian 12 meter di sebuah kilang besi di Taman Perindustrian Bukit Raja di sini sekitar jam 2.30 petang pada Selasa.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor menerusi satu kenyataan berkata, lelaki berusia 22 tahun itu disahkan mati di tempat kejadian.
"Kejadian berlaku semasa kerja-kerja memunggah bumbung zink. Rakan mangsa telah bergerak ke arah penyelia projek untuk mengambil bumbung dengan memasang cangkuk abah-abah pada bahagian bucket sebuah platform udara.
"Ketika giliran mangsa, didapati mangsa telah membuka kedua‐dua cangkuk abah-abah dan terpijak bumbung yang rapuh lalu terjatuh," menurut kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, JKKP Selangor mengeluarkan satu notis larangan kepada pihak kilang untuk menghentikan segala kerja-kerja baik pulih serta-merta.
"JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab jika terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!