52 pekerja warga asing ditahan dalam Ops Sapu

Sebahagian pekerja warga asing yang ditahan kerana melanggar Akta Imigresen.
Sebahagian pekerja warga asing yang ditahan kerana melanggar Akta Imigresen.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Imigresen Malaysia Melaka menahan 52 individu dalam Operasi Penguatkuasaan (Ops Sapu) di penempatan pekerja warga asing di tapak pembinaan kondominum Kota Laksmana di sini, pada Selasa.

Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, ketika operasi pada jam 1.30 pagi itu, terdapat 134 pekerja sedang nyenyak tidur dan daripada jumlah itu 52 orang terdiri dari warga Myanmar dan Bangladesh didapati melanggar Akta Imigresen.

Menurutnya bilangan mereka yang ditahan membabitkan 41 lelaki Bangladesh dan 11 lelaki Myanmar berusia antara 25 dan 45 tahun yang dipercayai bekerja sebagai buruh pembinaan di kawasan sekitar.

"Kesemua warga asing tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana sedang nyenyak tidur malah kawasan tersebut dikepung oleh anggota penguat kuasa lebih awal.

"Mereka yang ditahan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah bagi menjalani ujian saringan Covid 19 sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan dan pendakwaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Kata beliau, antara kesalahan imigresen yang dikenal pasti ada di antara mereka tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini, Pas Lawatan Kerja Sementara tamat tempoh dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan mendapati, majikan gagal menyediakan penempatan warga asing selaras peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta342).

"Didapati keadaan asrama yang sesak dan persekitaran kotor berisiko terdedah kepada penyakit berjangkit. Satu borang Saman Saksi (Borang 29) juga dikeluarkan kepada wakil majikan untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!