Bukan terjun, tapi tergelincir ketika memancing

Lelaki yang tergelincir di Sungai Mengkabong berhampiran KKIP berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Lelaki yang tergelincir di Sungai Mengkabong berhampiran KKIP berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang lelaki yang didakwa terjun dari sebuah jambatan sebenarnya bukan mahu membunuh diri sebaliknya tergelincir ketika memancing di Sungai Mengkabong berhampiran Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 8.35 pagi, lelaki berusia 38 tahun itu dikatakan pergi ke lokasi itu untuk memancing bersama bapa saudaranya.

Bagaimanapun, ketika hendak mengambil kedudukan memancing di rod besi panjang jambatan berkenaan, mangsa tergelincir dan terus terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa berjaya diselamatkan oleh bapa saudaranya yang bergegas turun ke bawah jambatan untuk membantu.

Bagaimanapun, menurut Mohd Zaidi, berlaku salah faham selepas seorang lelaki yang kebetulan melalui jambatan itu melihat kejadian berkenaan.

"Lelaki yang dikenali sebagai 'Bob' terus memaklumkan perkara itu kepada pasukan polis yang berada di sekatan jalan raya (SJR) yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Sepasukan polis terus bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan sebelum menghubungi pasukan paramedik untuk membantu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Katanya, hasil siasatan polis mendapati kejadian berkenaan adalah kemalangan dan tidak ada sebarang elemen jenayah termasuk cubaan bunuh diri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa berada dalam keadaan stabil dan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) sebagai pesakit luar.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan menurut laporan perubatan hanya terdapat koyakan tisu di bahagian paha dan betis," katanya.

Sebelum itu, tular dua rakaman video di media sosial berhubung kejadian seorang lelaki didakwa terjun ke sungai berkenaan dipercayai cuba membunuh diri, namun berjaya diselamatkan.

Rakaman berdurasi 23 dan 25 saat itu mendapat perhatian ramai dan dikongsikan dalam aplikasi WhatsApp.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!