MPM tidak akan mengalah, janji perjuang emas Ziyad
MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) tidak akan berputus asa untuk memperjuangkan keputusan pembatalan pingat emas yang telah dimenangi oleh jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam kategori F20 pada Selasa.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, MPM akan akan membuat bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic (WPA) selepas berakhirnya temasya Paralimpik kali ini.
"Tindakan (bantahan) ini hanya boleh dilakukan selepas berakhirnya temasya Paralimpik ini.
"Selain itu, saya juga sedang berusaha untuk mendapatkan salinan rakaman CCTV di bilik panggilan call room dan kawasan menunggu di Stadium Olimpik Tokyo untuk mendapatkan gambaran dan masa sebenar insiden sebagai bahan bukti untuk meneruskan tindakan selanjutnya," katanya.
Kejayaan Ziyad meraih emas dan memecahkan rekod dunia pada temasya Paralimpik pada Selasa bagaikan 'dirompak' susulan protes yang dilakukan kem Ukraine.
ARTIKEL BERKAITAN: WPA tolak rayuan Malaysia, pingat emas kekal milik Ukraine
Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik panggilan sebelum pertandingan dimulakan.
Ketiga-tiga atlet terbabit mendapat status 'DNS (did not start - tidak menyertai permulaan)' sekali gus menyebabkan mereka dianggap gagal layak beraksi sekali pun Ziyad sebelum itu memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter.
Kem negara turut telah mengemukakan rayuan selepas pertandingan itu namun WPA tetap menolak rayuan tersebut dengan menegaskan keputusan berdasarkan Peraturan 5.5 Olahraga Para Dunia - 'Gagal melaporkan diri ke Call Room' (bilik panggilan) yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir ke 'Call Room' pada waktu yang sesuai seperti yang ditetapkan dalam jadual Call Room, keputusan yang akan ditunjukkan adalah DNS (tidak bermula).
Beliau yang juga ketua kontinjen negara (CDM) ke Paralimpik Tokyo turut telah mengambil langkah tambahan dengan menerangkan kepada jawatan kuasa penganjur dan ketua kotinjen negara dalam mesyuarat CDM untuk mempertahankan kemenangan itu.
"Namun, pihak jawatankuasa penganjur memaklumkan sebarang rayuan dan protes boleh dibuat secara bertulis kepada IPC dan WPA. Saya selaku ketua kotinjen dan Presiden MPM berjanji berusaha sedaya upaya memperjuangkan nasib Ziyad.
"Saya juga telah bertemu dengan Ziyad selepas meyuarat tersebut dan Alhamdullilah Ziyad berlapang dada dengan keputusan tersebut. Dalam masa sama saya memohon pertimbangan kerajaan untuk memberikan ganjaran sewajarnya atau bersesuaian dengan pencapaian luar biasa Ziyad di Paralimpik kali ini.
"Bagi pihak kontinjen negara, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas isu yang terjadi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!