Pelepasan efluen punca pencemaran LRA Sungai Semenyih
SHAH ALAM - Punca pencemaran yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir berkemungkinan disebabkan pelepasan efluen oleh pihak tidak bertanggungjawab ke dalam Sungai Semenyih.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, penemuan awal itu berdasarkan pensampelan kualiti air di sungai berkenaan.
Menurutnya, pencemaran dipercayai berlaku lingkungan jam 1 pagi hingga 7 pagi berikutan pada ketika itu paras air sungai tinggi susulan hujan lebat di bahagian hulu pagi Selasa.
"Berdasarkan analisa yang dikeluarkan pihak Air Selangor, bahan kimia yang terkandung di dalam sampel air di dalam LRA Sungai Semenyih adalah trichloromethane, acetic acid, benzene, 1, 3-dimethyl, napthalene, 1,2,3,4-tetrahydro-1, 1, 6-trimethyl," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, jelas beliau, tindakan pemeriksaan bersepadu dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terhadap premis bagi mengenal pasti punca kemasukan efluen tersebut di bahagian Hulu Sungai Semenyih bagi memastikan isu itu tidak berulang.
"LUAS dan agensi terlibat telah mengaktifkan siasatan ke beberapa lokasi bagi mengenal pasti punca pencemaran tersebut.
"Siasatan dilakukan LUAS serta-merta sekitar jam 12 tengah hari bermula dengan pensampelan di kawasan muka sauk Jenderam Hilir, Jambatan Sungai Semenyih (1.5 kilometer dari muka sauk) dan Sungai Rinching.
"Kesemua lokasi yang berbeza tersebut mencatatkan bacaan 0 ton," katanya.
Dalam masa yang sama, jelas Loy Sian, pemantauan statik dilaksanakan oleh LUAS dan Air Selangor dalam memastikan tiada kesan bau di Sungai Semenyih.
"LUAS juga telah menjalankan pemantauan statik dan pensampelan di dua kawasan iaitu di Jambatan Ladang Bukit Unggul dan Jambatan Kampung Rinching Hilir," katanya
Ujar beliau, pensampelan ujian bau setiap sejam yang dijalankan berdasarkan pemantauan statik menunjukkan keadaan air sungai kelihatan normal dan bacaan bau adalah 0 ton
"Tindakan tegas kepada pelaku selaras Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, di mana sebarang pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta," katanya.
Mengulas situasi terkini gangguan bekalan air, Loy Sian berkata, berdasarkan kenyataan dikeluarkan Air Selangor, pengguna sudah menerima bekalan air bersih pada jam 7 pagi Rabu secara berperingkat.
"Sebanyak 463 kawasan terjejas akibat gangguan bekalan air ini dan ia dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam Jumaat," katanya.
Jelas beliau, kerajaan Selangor melalui LUAS komited dalam melaksanakan pemantauan 24 jam di lembangan sungai dalam memastikan kelangsungan sumber air di negeri Selangor.
"Saya meminta kepada semua agar prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai. Pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air adalah tanggungjawab bersama," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan air di kawasan terjejas Selangor pulih sepenuhnya Jumaat
Gangguan bekalan air: 323,623 akaun pengguna terjejas
Loji Rawatan Sungai Semenyih dihentikan akibat pencemaran bau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!