Sebulan Op Benteng, lapan tan daun ketum dirampas

Md Dali (tiga dari kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas sepanjang sebulan penugasan Op Benteng Batalion 2 PGA Kulim di Markas Taktikal Briged Utara Bukit Kayu Hitam di sini pada Rabu.
Md Dali (tiga dari kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas sepanjang sebulan penugasan Op Benteng Batalion 2 PGA Kulim di Markas Taktikal Briged Utara Bukit Kayu Hitam di sini pada Rabu.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim berjaya merampas 8 tan daun ketum bernilai RM239,010 sepanjang sebulan penugasan Op Benteng di sempadan Malaysia-Thailand di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim, Superintendan Md Dali Jamil berkata, jumlah itu melibatkan rampasan di darat sebanyak 5.7 tan dan 2.3 tan di pesisir pantai barat utara.

Menurutnya, jumlah itu mencatatkan peningkatan rampasan sebanyak 60 peratus berbanding rampasan pada bulan lalu.

"Penggunaan ketum yang dibenarkan oleh kerajaan Thailand menyebabkan aktiviti penyeludupan ketum semakin berleluasa di sempadan.

"Apatah lagi harga pasaran di Thailand mencecah RM100 sekilogram berbanding sekitar RM30 sekilogram di Malaysia," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Briged Utara Bukit Kayu Hitam, di sini pada Rabu.

Menurutnya, pihak PGA Utara akan lebih tegas dalam penugasan dan mempergiatkan rondaan dan risikan untuk membendung kegiatan penyeludupan ini.

"Kita dapati mereka masih menggunakan taktik yang sama untuk menyeludup daun ketum ke Thailand iaitu membuang daun ke sempadan Thailand melalui laluan belukar di sempadan Malaysia di sini.

"Cuma apa yang kita kenal pasti daun ketum yang dirampas ini tidak lagi dibungkus dalam ikatan kecil seperti sebelum ini, sebaliknya terus dimasukkan dalam guni yang lebih besar untuk mempercepatkan urusan penghantaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Md Dali menambah, sepanjang penugasan itu juga, pasukan Batalion 2 berjaya menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) pada Selasa.

"Tangkapan pada jam 7.20 petang itu dilakukan di ladang Laka Temin, di sini melibatkan PATI warganegara Myanmar berumur antara 18 hingga 55 tahun.

"Mereka ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dipercayai masuk ke negara ini secara haram," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!