Ladang ayam cemar Sungai Air Salak diarah bayar denda RM210,930

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

TAMPIN - [DIKEMASKINI] Pengusaha ladang ternakan ayam di Kampung Bukit Rokan, Gemencheh digesa agar segera menyelesaikan kerja pembersihan dan membayar denda pemutihan berjumlah RM210,930 berhubung isu pencemaran di Sungai Air Salak di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri S. Veerapan berkata, pengusaha ladang itu telah diarah menghentikan operasi pada Ahad lepas.

Menurut beliau, sebelum ini, pengusaha ladang terbabit membuat permohonan untuk proses pemutihan kerana tidak mengikut spesifikasi yang dikehendaki dan diarah membayar denda serta diberikan lesen sementara.

“Sehingga kini, pihak pengurusan ladang masih belum selesaikan denda dan pengusaha ladang ini diminta memastikan segala piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Veterinar dan juga Badan Kawal Selia Air dipatuhi.

“Notis telah dikeluarkan kepada pengusaha ladang bahawa perlu memastikan air dilepaskan ke sungai dalam keadaan bersih dan mematuhi standard yang ditetapkan, sekiranya masih gagal, tindakan undang-undang akan diambil,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Veerapan berkata, berdasarkan pemantauan, sebanyak 61 reban ayam dan air kumbahan yang diuruskan di ladang itu tidak mengikut prosedur operasi standard ditetapkan serta saiz kolam rawatan air tidak mengikut piawaian ditetapkan.

Media sebelum ini melaporkan ladang ternakan ayam itu diarah menghentikan operasi buat sementara waktu pada 29 Ogos lepas ekoran pencemaran di Sungai Air Salak dan pengusaha terbabit diminta membersih serta menyelenggara sistem kumbahan ladang tersebut dalam tempoh seminggu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Ladang ayam diberi tempoh seminggu bersih sistem kumbahan

Artikel Berkaitan:

Sungai tercemar, bau busuk ganggu penduduk

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!