KPLB, KKMM kolaboratif tingkat capaian internet luar bandar
PUTRAJAYA- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengadakan kolaboratif bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk mempertingkatkan capaian internet di kawasan luar bandar.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, isu tersebut dilihat sebagai satu perkara yang serius dan keperluan kepada rakyat di luar bandar.
“Walaupun capaian tidak dapat secara keseluruhan tetapi boleh dibuat secara berfasa untuk bolehkan capaian internet lebih tinggi di luar bandar.
“Satu pertemuan dengan Menteri KKMM, Tan Sri Annuar Musa akan diadakan secepat mungkin. Ini benda yang saya fikir dan patut jadi prioriti,” katanya selepas Majlis Serah Tugas Menteri Pembangunan Luar Bandar di sini pada Rabu.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad selaku bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar untuk menandatangani dan menyempurnakan penyerahan Nota Serah Tugas.
Tambah beliau, KPLB akan terus memastikan kesejahteraan rakyat khususnya di luar bandar dengan memfokuskan kepada agenda pendigitalan ekonomi luar bandar seiring Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, program vaksinasi luar bandar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan terus dipertingkat bagi mencapai komuniti berkelompok.
Jelas beliau, pembangunan luar bandar yang sejahtera, inklusif, mampan dan holistik akan diberi keutamaan selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia.
“Saya yakin kita akan berjaya dan mampu memberikan yang terbaik untuk memastikan agenda pembangunan luar bandar dapat terus dilaksanakan di sebalik cabaran yang dihadapi negara pada masa ini.
“Sebagaimana kita semua sedia maklum, antara cabaran utama kerajaan pada masa ini adalah untuk memangkinkan semula kekuatan ekonomi negara, memperkukuh kestabilan politik dan memelihara kesihatan rakyat.
“Pada masa yang sama, cabaran sedia ada seperti kemiskinan dan peluang pekerjaan yang terhad khususnya di luar bandar masih perlu diberi perhatian,” katanya.
Kata beliau, KPLB terus komited untuk merealisasikan PPN bagi memastikan sektor ekonomi terutama di luar bandar dapat kembali dibuka sepenuhnya.
Ujarnya, ia bagi memastikan Keluarga Malaysia di luar bandar dapat kembali menjana pendapatan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada yang terjejas.
Selain itu, kesemua program pembangunan melibatkan peruntukan sebanyak RM5.78 bilion untuk memulih dan merancakkan ekonomi akan diberi perhatian.
“Ia meliputi pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pemerkasaan modal insan luar bandar supaya dapat dilaksana mengikut jadual sebagaimana yang telah dirancang.
“Saya bertekad meneruskan perjuangan murni kementerian dan agensi untuk mencapai visi Luar Bandar Sejahtera.
“Fokus kita perlu berubah daripada 'build to last' kepada 'build to adapt', tidak kiralah sama ada dalam konteks pembangunan modal insan, keusahawanan, produk mahupun perkhidmatan,” ujarnya.
Katanya, tumpuan khusus akan diberikan dalam memperkukuh peranan institusi TVET@KPLB selaras dengan agenda pemerkasaan TVET negara.
Menurut Mahdzir, ia bagi menambah baik pendidikan awal kanak-kanak ke arah pendidikan berpaksikan teknologi, mempergiat pemajuan tanah dan wilayah serta mempercepatkan pelan transformasi Jabatan dan agensi di bawah KPLB khususnya FELCRA Bhd dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!