Perkukuh sukan para di peringkat negeri
PERSATUAN-persatuan sukan para digesa agar bergerak aktif untuk memperkukuhkan sukan masing-masing khususnya di peringkat negeri.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, gesaan itu juga merupakan satu cabaran buat pemimpin dan anggota gabungan persatuan kerana mereka perlu sedar bukan mudah untuk menjaga persatuan sukan.
“Saya perlu mencabar dan menggerakkan mereka. Memang ini tugas saya untuk mengingatkan mereka (persatuan sukan). Apa yang dibuat oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) hari ini adalah satu langkah yang baik untuk memperkukuhkan persatuan sukan para.
“Kita hendak persatuan sukan para berdiri sendiri kecuali sukan yang tertakluk di bawah undang-undang dan perlembagaan badan antarabangsa seperti badminton, berbasikal dan kanu,” katanya pada sidang media selepas bengkel memperkasakan persatuan sukan para di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, ibu negara, hari ini.
Beliau berkata, fokus MPM adalah untuk memastikan agar persatuan kebangsaan dan anggota gabungan mempunyai struktur kukuh dan bukan hanya ditadbir oleh tiga atau empat orang individu sahaja.
"Kalau hanya tiga atau empat orang sahaja yang menggerakkan persatuan sukan, kita tidak panggil persatuan, ia adalah penggerak. Kita haruslah berkembang hinggalah ke peringkat negeri. Jadi bengkel ini sangat baik sekali untuk mencari idea, mendengar pandangan.
"Selepas semua idea dikumpul, saya harap persatuan sukan para balik, duduk bersama, lakukan pelan strategik, mengukuhkan peraturan masing-masing," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata tidak semua persatuan sukan para berada pada tahap kurang sempurna, hanya beberapa saja perlu diberi teguran.
"Ia sama seperti sebuah keluarga, ada anak yang bertindak perlahan, ada yang agresif, ada yang liar. Kita sebagai 'ibu bapa' harus sentiasa memantau dan memberi cabaran kepada mereka. Ini adalah sebahagian tugas MPM, Institut Sukan Negara (ISN) dan MSN,” katanya.
Ahmad Shapawi berkata, langkah memperkasakan persatuan sukan para juga bersesuaian dengan pengiktirafan kerajaan menerusi pindaan Akta Pembangunan Sukan baru-baru ini yang mengiktiraf MPM.
Sementara itu, Naib Presiden MPM, Datuk R. Subramaniam berkata pelbagai kejayaan sudah dicapai oleh atlet para negara sejak tiga atau empat tahun lepas sehingga mendapat tumpuan masyarakat.
"Kita berharap dapat menyediakan sistem sokongan yang lebih baik dan proses ini sentiasa berterusan.
“Kita harus tentukan setiap persatuan mempunyai pencapaian," katanya dalam sidang media di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!