Saran wad pesakit kronik Covid-19 dipasang CCTV
SUNGAI PETANI - Pemuda MIC Kedah menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan pemasangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pesakit kronik di wad Covid-19.
Ketuanya, J. Jeevabalan berkata, pemantauan di wad berkenaan perlu dipertingkatkan dengan pengawasan petugas kesihatan secara berkala selain untuk memastikan kehadiran petugas kesihatan sepanjang masa.
Menurutnya, cadangan berkenaan adalah bagi mengelak insiden seperti seorang warga emas yang meninggal dunia di lantai wad Hospital Lama Sungai Petani berulang, setelah video berkenaan tular sehingga menimbulkan kemarahan warganet.
“Difahamkan petugas kesihatan termasuk doktor dan jururawat membuat pemeriksaan berkala ke atas pesakit di wad Covid-19, ia adalah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM.
"Apa yang membimbangkan, bagaimana jika ada kecemasan antara tempoh pemantauan itu? Apa nasib pesakit yang tidak mampu bergerak atau bersuara meminta bantuan segera? Oleh itu, penggunaan CCTV bagi pemantauan secara menyeluruh amat diperlukan,” katanya.
Tambah Jeevabalan, sekiranya terdapat unsur kecuaian dalam insiden terbabit, keluarga mendiang berhak mendapat keadilan sewajarnya.
“Timbul beberapa persoalan berkaitan apa yang sebenarnya berlaku berdasarkan rakaman video tular tersebut.
"Diharap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dapat memberi perhatian terhadap insiden terbabit dan mengarahkan siasatan terperinci serta telus dibuat demi keadilan semua pihak,” katanya.
Menurutnya lagi, Pemuda MIC sentiasa menghargai pengorbanan petugas kesihatan selaku barisan hadapan negara namun dikhuatiri insiden seumpama menimbulkan persepsi negatif serta hilang keyakinan masyarakat.
“Kami harap insiden sedemikian tidak berulang lagi sekali gus mencalarkan kredibiliti KKM,” tambah Jeevabalan.
Pada Isnin, satu video tular di media sosial mengenai seorang pesakit lelaki dikatakan jatuh dan berpaut pada katil sebelum meninggal dunia di lantai wad, serta didakwa lewat mendapat bantuan petugas hospital.
Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sebelum ini menafikan bahawa pesakit itu dibiarkan sehingga meninggal dunia tanpa mendapat bantuan pihak hospital.
Bagaimanapun, pada Selasa, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo memperjelaskan situasi pesakit dan memaklumkan siasatan lebih mendalam akan dijalankan dan tindakan penambahbaikan yang diperlukan akan diberi perhatian.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit jatuh katil hospital hidap sakit kronik, Covid-19
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!