Dua pelajar UiTM maut kemalangan
MARAN - Dua pelajar wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka di sini maut selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di KM22 Jalan Temerloh - Jengka tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman berkata, mangsa berkenaan ialah Siti Najiha Azahar, 21, dari Taman Idaman, Kluang, Johor dan rakannya Aina Mardhiah Razmi, 21, dari Desa Mewah, Semenyih, Selangor.
“Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 12 tengah hari ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan menuju ke Temerloh.
“Siasatan awal mendapati ketika tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang oleh mangsa telah memotong sebuah kereta sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Akibat pertembungan itu, Siti Najiha meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah yang dialami manakala Aina Mardhiah meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH).
Sementara pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Norzamri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!