Kemuliaan insan bernama Muhammad Adib
MEMASUKI hari ke 13 perbicaraan Inkues Kematian anggota bomba dan penyelamat (JBPM) USJ, Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Seramai 18 saksi telah hadir memberi keterangan di hadapan Koroner, Rofiah Mohamad.
Sebagai wartawan yang ditugaskan untuk melaporkan perbicaraan ini setiap hari, saya tertanya-tanya apakah amalan pemuda ini sehingga menjadi kesayangan semua orang hingga nafas terakhirnya.
Jika diimbas kembali, nama Muhammad Adib mula meniti di bibir seluruh warganegara apabila dia dilaporkan parah dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ, awal pagi 27 November.
Seluruh warga Malaysia tanpa mengira pangkat, darjat dan keturunan bersatu hati mendoakan kesejahteraan sehingga dia sedar dari koma pada 29 November, dua hari selepas dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Pemimpin negara termasuk pihak istana berganti menziarahi dan memberi kata semangat kepadanya.
Ketika sedang bertarung di IJN, JBPM mengadakan solat hajat di seluruh negara dan bacaan Yassin untuknya.
Bagaimanapun selepas 21 hari di rawat di IJN, Muhammad Adib akhirnya menghembuskan nafas terakhir jam 9.41 malam pada 17 Disember lalu.
Kepemergiannya turut membawa perasaan duka seluruh negara yang mengharapkan dia sembuh sepenuhnya.
Bermulanya hari pertama perbicaraan inkuiri itu pada 11 Februari lalu, di mahkamah, saya merakamkan detik-detik hiba, suram dan sedih ketika saksi hadir memberi keterangan walhal mereka tidak pun mengenali pemuda itu secara peribadi.
Contohnya, saksi kesembilan, R Narresh boleh disifatkan sebagai unsung heroes dalam menyelamatkan Muhammad Adib yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada awal pagi insiden tersebut.
Narresh yang merupakan anggota sukarelawan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berulang kali memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai rasa tanggungjawab terhadap Muhammad Adib ketika orang ramai sibuk merakamkan video dan gambar.
Sedang pemandu lain enggan memberi bantuan di saat itu, Allah gerakkan pula hati seorang bekas komando, Mohd Hafizan Nordin yang sedang dalam perjalanan ke Kota Kemuning untuk membawa Adib ke hospital berdekatan.
Mohd Hafizan yang merupakan saksi ke-10, pada awalnya teragak-agak untuk membantu selepas menerima amaran daripada seorang wanita India agar tidak memasuki kawasan insiden itu.
Sebaik tiba di hospital berdekatan, Narresh dilapor tegang urat dengan kakitangan hospital yang pada mulanya enggan respon terhadap kes tersebut kerana tidak mempunyai dokumen.
Bagaimanapun Narresh berjaya meyakinkan mereka bahawa betapa besarnya jasa anggota bomba terhadap masyarakat.
Proses pemindahan Muhammad Adib daripada hospital itu ke IJN turut berjalan lancar.
Sepanjang di rawat di institut perubatan itu, dia diletakkan di bawah satu pasukan yang terdiri daripada pakar-pakar berpengalaman antaranya, Ketua Unit Rawatan Rapi (ICU) , Datuk Dr Suneta Sulaiman dan Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorasik yang masing-masing merupakan saksi ke 14 dan 15.
Biarpun baharu sahaja mengenai Muhammad Adib, saksi ke 16, salah seorang daripada pasukan perawat, Muhammad Baruji menangis di kandang saksi kerana gagal menunaikan hasrat anggota bomba itu untuk menikmati jus buah.
Pada ketika ini suasana di dalam mahkamah berbaur rasa. Sedih, sebak!
Selain saksi awam dan perubatan, inkuiri itu turut menampilkan beberapa rakan sekerja Allahyarham termasuk Ketua Balai JPBM USJ, Syed Sharil Anuar Syed Sulaiman di mahkamah.
Seluruh galeri awam memberi tumpuan penuh ketika Syed Sharil yang merupakan saksi ke 18 dalam keadaan sebak menceritakan gurauan akhirnya bersama Muhammad Adib yang memohon cuti kahwin.
Iya! Tepat jangkaan. Kali kedua mahkamah ini menjadi saksi air mata abang bomba gugur di kandang saksi.
Saya juga tidak mampu menyeka air mata daripada merembes keluar.
Syed Sharil menyifatkan Muhammad Adib seorang yang komited dalam kerjaya, ringan tulang, tidak mempunyai masalah dengan sesiapa dan sentiasa tersenyum.
Semasa menunjukkan perkembangan positif di IJN, Muhammad Adib dilapor kerap menulis nama kedua ibubapanya, tunang dan seorang rakan baiknya di papan putih.
Keperibadian Muhammad Adib wajar menjadi contoh kepada semua kerana dia sangat mengutamakan keluarganya.
Dia dilaporkan sanggup memohon cuti bagi membantu ayahnya Mohd Kassim Abdul Hamid di bendang sawah selain tidak senang duduk apabila jika ibubapanya tidak sihat.
Kemuliaan insan yang bernama Muhammad Adib turut terpalit kepada keluarganya apabila tidak putus-putus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak.
Antaranya Bank Simpanan Nasional (BSN) tampil untuk menyelesaikan pembiayaan sebuah Perodua Myvi yang dibelinya tatkala keluarga buntu memikirkannya.
Perodua Myvi itu dibelinya pada Oktober 2018 bagi kegunaan keluarga terutama pada hari perkahwinannya bersama tunang, Nurul Najihah Mohd Radzi yang dijadualkan pada 22 Disember.
Walaupun, perjalanan kehidupan Muhammad Adib sehingga nafas akhirnya sangat mudah seolah-olah dimuliakan ALLAH.
Semoga ALLAH merahmati kita semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!