Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Azrin
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Tentera Darat 10 Briged (PARA), Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa yang terkorban semasa menjalani latihan di Bera, Pahang.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Mohamad Azrin dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan itu.
"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin," menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.
Kenyataan itu memaklumkan Al-Sultan Abdullah telah berkenan meninjau dan menyertai operasi mencari dan menyelamat di Kampung Bohor Baru, Bera pada Selasa.
Seri Paduka Baginda turut meluangkan masa menyantuni keluarga mangsa dan mengurniakan sumbangan peribadi bagi mengurangkan beban mereka.
Allahyarham Mohamad Azrin, yang merupakan anggota Tinjau dari Pasukan Kompeni PANDURA (Para), dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan Eksesais PARA Predator Siri 1/2021 pada 4.40 petang Ahad lepas.
Semasa kejadian, Allahyarham sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.
Mayat Allahyarham ditemukan penduduk di kawasan Kampung Serengkam, Maran iaitu kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian pada 8.15 pagi Rabu.
Eksesais PARA Predator merupakan antara eksesais yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia melalui 10 Briged (PARA) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka selama 14 hari membabitkan 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik Tentera Darat. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota tentera dikhuatiri lemas ketika latihan
'Dua kali cuba diselamatkan'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!