‘Emas’ Ziyad di hati rakyat Malaysia
BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mungkin itu yang sedang dirasai jaguh para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli apabila terpaksa akur pingat emas dimenanginya dalam acara lontar peluru T20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ditarik balik.
Angkara 'dua minit', penyertaan Ziyad dibatalkan biarpun dia melengkapkan enam lontaran termasuk dua kali memperbaharui rekod dunia. Semuanya gara-gara protes daripada kontinjen Ukraine sehingga status Ziyad diklasifikasikan sebagai DNS (Did Not Start).
Ziyad dan dua lagi atlet - Todd Hodgetts dari Australia dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat dua minit memasuki bilik menunggu (Call Room) sebelum pertandingan dimulakan, sekali gus menyebabkan nama mereka diketepikan daripada senarai peserta.
Atas kesalahan tersebut, impian Ziyad mengucup emas Sukan Paralimpik kali kedua berkecai. Lebih malang, catatan rekod dunia 17.94 meter (m) yang dicipta atlet berusia 31 tahun secara automatik tidak diambil kira.
Pada awalnya, segala-gala tampak sempurna sebaik Ziyad melangkah masuk ke Stadium Olimpik. Selaku penyandang juara, Ziyad diberi 'penghormatan' untuk memulakan saingan selaku atlet terakhir yang membuat lontaran.
Atlet yang terkenal dengan panggilan Super Ziyad itu tidak perlu menunggu lama untuk mencipta impak luar biasa. Pada lontaran pertama, Ziyad sudah berjaya memperbaharui rekod dunia dengan balingan sejauh 17.31m.
Tidak cukup dengan itu, Ziyad sekali lagi memperbaharui rekod dunia apabila mencatatkan 17.94m pada lontaran ketiga, sekali gus memberi amaran awal kepada barisan pencabarnya bahawa pingat emas sudah berada dalam genggamannya.
Mungkin sudah suratan takdir, Ziyad terpaksa menerima hakikat emas bukan menjadi miliknya susulan protes kem Ukraine. Dalam hal ini, Ziyad harus tenang dan sabar dalam menghadapi situasi yang sudah pasti tidak pernah diduganya itu.
Apa pun, Ziyad sudah melakukan yang terbaik. Malah, Ziyad tidak perlu meminta maaf atas apa yang berlaku. Ziyad sudah pun memenangi hati seluruh rakyat Malaysia. Biarpun tanpa pingat emas Sukan Paralimpik kali ini, Ziyad masih dianggap 'emas' 32 juta rakyat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!