'Kami kesian keterujaan semangat pemain muda'
PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) menyifatkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan Piala Presiden dan Piala Belia yang ditangguhkan sejak musim lalu berikutan pandemik Covid-19 berkemungkinan akan menjejaskan mental dan motivasi dalam kalangan pemain muda.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, kebanyakan pasukan sudah teruja dan bersedia untuk beraksi bersama skuad Piala Presiden dan Piala Belia masing-masing pada musim ini selepas melakukan persiapan rapi.
“Secara jujur ia boleh memberikan impak besar kepada moral dan motivasi dalam kalangan pemain muda, apatah lagi mentaliti mereka yang sudah bersedia untuk tampil beraksi di padang.
“Saya kesian dengan pemain muda skuad Piala Presiden dan Piala Belia yang sudah lama memasang impian kembali beraksi pada musim ini, apatah lagi musim lepas di mana dua kejohanan sama juga berdepan pembatalan berikutan pandemik Covid-19.
“Di pihak KLFA pula kami tidak ada masalah cuma perlu akur dan menghormati kontrak beberapa pemain yang kita tandatangani awal tahun lepas dengan meneruskan pembayaran gaji terhadap mereka berdasarkan perjanjian dipersetujui sehingga akhir tahun,” katanya yang akur dengan keputusan FAM tersebut kepada Sukan Sinar pada Selasa.
FAM sebelum ini mengesahkan pembatalan saingan Piala Presiden dan Piala Belia serta-merta selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terbabit.
Keputusan juga diambil selaras dengan status penganjuran dua kejuaraan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat lampu hijau daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
ARTIKEL BERKAITAN: FAM batal pertandingan Piala Presiden, Piala Belia
Tambah Nokman lagi, KLFA berharap badan induk bola sepak negara mungkin boleh bertindak lebih proaktif dengan menambah lagi slot kejuaraan bagi mengembalikan tahap kompetitif pemain-pemain muda musim depan.
Menurut Nokman, pembatalan dua kejohanan di peringkat akar umbi itu yang ditangguh sejak musim lalu berikutan pandemik Covid-19 secara tidak langsung menjejaskan momentum pemain.
“KLFA pun memahami situasi semasa pandemik Covid-19 pada ketika ini, cuma berharap keputusan membatalkannya dapat dibincangkan lebih awal agar setiap pasukan boleh memikirkan langkah seterusnya untuk menjaga kepentingan pemain.
“Apapun saya amat berharap FAM dapat menambah lagi beberapa lagi kejuaraan dalam dua kejohanan tersebut seperti yang dilakukan terhadap Liga Super dan Liga Premier pada saingan Liga Malaysia dengan penambahan dua lagi kejuaraan seperti Piala FA dan Piala Malaysia.
“Penambahan kejohanan ini penting untuk meningkatkan semula prestasi pemain muda selepas dua musim tidak dapat beraksi di lapangan kompetitif,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!