Kerajaan baharu tiada masa untuk bersenang-lenang

Kerajaan yang baharu dibentuk tiada masa untuk bersenang-lenang atau berbulan madu.
Kerajaan yang baharu dibentuk tiada masa untuk bersenang-lenang atau berbulan madu.
A
A
A

KERAJAAN yang baharu dibentuk tiada masa untuk bersenang-lenang atau berbulan madu.

Pada waktu ini, mereka seharusnya sudah berada pada posisi gear lima untuk memastikan sasaran 100 hari dapat dicapai.

Beberapa menteri nampaknya sudah pun memulakan tugas mereka dan sudah pun mengadakan sidang akhbar bagi menerangkan situasi semasa negara.

Malah pada Rabu, dalam mesyuarat kabinet yang pertama turut memberikan tumpuan mengenai masalah Covid-19.

Ia kemudian disusuli pemberian Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang tertangguh sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga turut mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran BKC dengan dana berjumlah RM3.1 bilion yang telah pun disalurkan kepada institusi perbankan berkaitan.

Pengumuman tersebut jelas telah menggembirakan rakyat Malaysia yang sememangnya memerlukan bantuan ketika ini untuk meringankan beban.

Situasi tersebut boleh dilihat apabila ramai warganet melahirkan rasa syukur di media sosial selepas berita gembira tersebut diumumkan pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Malah, ada juga warganet yang menyifatkan BKC dapat membantu meringankan beban mereka mengurangkan ketika Pandemik Covid-19.

Untuk rekod, BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

Pada 28 Jun lalu, kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Pemulih sebagai inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19.

Apa yang pasti, berita tersebut memberi kegembiraan kepada rakyat yang sebelum ini kecewa selepas pembayaran BKC yang sepatutnya diagihkan pada Ogos menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) tidak dilaksanakan.

Disebabkan kelewatan tersebut, maka pelbagai berita-berita palsu disebarkan oleh orang ramai termasuklah yang kononnya BKC tidak akan diberikan susulan perubahan tampuk kepimpinan kerajaan.

Pastinya, di kala pandemik yang masih melanda negara ketika ini, bantuan seperti BKC antara yang ditagih oleh rakyat terutama golongan miskin bandar yang menderita teruk dalam pertarungan Covid-19 ini.

Golongan tersebut bukan sahaja berdepan dengan masalah pendapatan dan simpanan, malah turut hilang kemampuan untuk memenuhi keperluan asas.

Tambahan lagi, nyawa mereka terancam disebabkan keadaan perumahan yang tidak kondusif sekali gus meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Diharapkan BKC dapat memberi keyakinan kepada rakyat untuk bekerjasama bersama kerajaan bagi memulihkan ekonomi yang terkesan akibat wabak tersebut.

Apabila rakyat dan kerajaan bekerjasama sebagai satu pasukan ia mampu memacu kembali ekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!