Maqis rampas 30 kilogram daging babi dari China

Antara bungkusan berisi daging babi yang dirampas melalui pintu masuk KLIA pada Rabu.
Antara bungkusan berisi daging babi yang dirampas melalui pintu masuk KLIA pada Rabu.
A
A
A

SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan membawa masuk 30 kilogram daging babi dari China melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.

Maqis menerusi kenyataan memaklumkan, daging babi tersebut berjaya dikesan setelah pemeriksaan dijalankan terhadap dua individu warga China di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA kira-kira jam 5 petang.

"Pemeriksaan dijalankan menemui sebanyak 80 pek produk daging babi diletakkan di dalam dua kotak gabus.

"Daging babi tersebut dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri dan telah ditahan kerana gagal mengemukakan permit import yang dikeluarkan oleh Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, kesemua daging babi tersebut akan dihantar ke Makmal Kesihatan Veterinar bagi tujuan persempelan untuk mengenal pasti penyakit demam berdarah akut atau African Swine Fever (ASF).

"Tujuan larangan membawa masuk daging berkenaan di laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan wabak penyakit ASF yang boleh merosakkan industri ruminan negara.

"Perbuatan mengimport apa-apa jenis tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma tanpa Permit Import yang sah daripada Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), Akta yang sama," katanya.

Menurutnya, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

"Maqis akan sentiasa tegas, cekap dan teliti dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan di semua pintu masuk seluruh Malaysia.

"Langkah ini bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara serta memastikan makanan yang masuk ke Malaysia mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!