Ronaldo pintas Ali Daei

Ronaldo meledak dua gol ketika membantu Portugal menewaskan Republik Ireland di di Estádio Algarve. - Foto Portugal FA
Ronaldo meledak dua gol ketika membantu Portugal menewaskan Republik Ireland di di Estádio Algarve. - Foto Portugal FA
A
A
A

PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman bola sepak antarabangsa ketika dua jaringannya membantu A Seleção menjinakkan Republik Ireland 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada Khamis.

Pada aksi Kumpulan A di Estádio Algarve itu, penyerang baharu Manchester United tersebut tampil meledak dua gol pada minit ke-89 dan 96 sekaligus mengesahkan kemenangan ketiga selepas anak buah Fernando Santos mengharungi empat perlawanan.

Kemenangan yang memperkukuhkan kedudukan Portugal itu menyaksikan pemain berusia 36 tahun tersebut meledak gol ke-110 dan 111 bersama negaranya selepas sepakan penaltinya dinafikan penjaga gol, Gavin Bazuni sebelum itu.

Dua gol Ronaldo ketika menentang Perancis di Euro 2020 lalu sebelum ini menyamai jaringan dilakukan legenda Iran, Ali Daei, yang menjaringkan 109 gol ketika menyarung jersi negara kuasa bola sepak Asia tersebut antara 1993 hingga 1996.

Bekas tonggak Juventus itu juga ketika ini menyamai rekod penampilan Sergio Ramos di pentas Eropah apabila merekodkan 180 penampilan bersama Portugal.

"Sejujurnya, saya tidak hanya gembira kerana berjaya mencipta rekod ini, tetapi juga detik-detik teristimewa bersama pemain-pemain Portugal lain untuk memenangi perlawanan ini.

"Dua gol pada penghujung babak perlawanan, merupakan sesuatu yang terindah hasil komitmen dalam kalangan pemain Portugal yang membuktikan kami mampu melakukannya pada perlawanan ini. Saya amat bangga dengan semangat pemain-pemain Portugal," katanya.

Pencapaian dilakar Ronaldo di laman sendiri itu secara tidak langsung meletakkan pemain tersebut sebagai antara pemain bola sepak terhebat sepanjang masa.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Ronaldo sebelum ini merupakan penjaring terbanyak dalam kejuaraan kelab utama Eropah yang menyaksikan lima trofi berada dalam koleksinya.

Bekas tonggak Real Madrid itu juga penjaring terbanyak Euro (14 gol) dan Piala Dunia (21 gol) sekiranya digabungkan jaringan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!