Mayat lelaki lemas di Sungai Dungun ditemukan
DUNGUN - [DIKEMASKINI] Seorang pemuda yang hilang dihanyutkan arus ketika mandi bersama lima rakannya dalam kejadian di Sungai Kampung Tok Kah di sini pada Selasa, ditemui lemas, pagi Khamis.
Mayat Mohd Firdaus Afiq Che Yusof, 21, dijumpai tersangkut pada enjin tongkang di kawasan Penyedut Pasir Serdang jam 8.15 pagi iaitu kira-kira 3.3 kilometer (KM) dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Shahrizal Shamsudin berkata, mangsa ditemukan oleh salah seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja menyedut pasir di lokasi dan sudah mengetahui operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
"Berikutan penemuan mayat mangsa, SAR di lokasi ditutup serta merta," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan pada Khamis.
Dalam kejadian pada Selasa itu, mangsa, Mohd Firdaus Afiq Che Yusof, 21, bersama lima lagi rakannya dipercayai mandi di sungai berkenaan bagi mengisi percutian sempena Hari Kemerdekaan.
Salah seorang rakan mangsa, Mohd Zulfadhli Mohd Hasmadi, 21, juga nyaris lemas kerana mengalami kekejangan kaki namun sempat diselamatkan orang awam tetapi mangsa yang pada masa itu dalam keadaan tenggelam timbul gagal diselamatkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!