OPEC+ setuju tingkatkan sedikit pengeluaran minyak mentah

Foto Mohdssen Assanimoghaddam/dpa
Foto Mohdssen Assanimoghaddam/dpa
A
A
A

[DIKEMASKINI] ANGGOTA kumpulan pengeluar minyak, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya bersetuju untuk meningkatkan sedikit pengeluaran minyak mentah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Peringkat Menteri Negara-Negara OPEC dan bukan OPEC Ke-20 yang diadakan dalam talian pada jam 11 malam tadi.

“Dalam mesyuarat tersebut, Menteri-Menteri OPEC bersetuju untuk meningkatkan sedikit pengeluaran minyak mentah memandangkan ada tanda-tanda pemulihan ekonomi global,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mesyuarat yang dihadiri oleh 13 negara OPEC dan 10 negara sekutu tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi OPEC Putera Abdulaziz Salman Al-Saud, Menteri Tenaga Arab Saudi.

Mustapa mengetuai delegasi Malaysia yang terdiri daripada wakil Unit Perancang Ekonomi, Petronas dan Jabatan Peguam Negara.

Malaysia menyertai mesyuarat OPEC+ sejak Disember 2016.

Pada waktu catatan, harga minyak mentah Brent berada pada paras AS$71.36 (RM297) setong. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!