Belanda perlu perbaiki kelemahan
PENGENDALI baharu Belanda, Louis van Gaal menyifatkan masih banyak yang perlu diperbaiki skuad kendaliannya itu setelah hanya mampu terikat 1-1 ketika berdepan Norway pada aksi kumpulan G Eropah bagi Kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Ullevaal, Oslo pada Khamis.
Menurut Van Gaal, skuad kendaliannya itu perlu meningkatkan persefahaman selain dapat beraksi sebagai satu pasukan jika mahu mencatatkan kejayaan pada perlawanan akan datang.
“Kita mungkin fikirkan bahawa pasukan ini adalah pasukan yang baik di dunia ketika ini; tetapi sebenarnya tidak. Mereka (pemain) perlu buktikan mereka mampu beraksi sebagai satu pasukan dahulu.
“Lihat sahaja apa yang dilakukan Norway. Mereka sepanjang masa beraksi sebagai satu pasukan dan hampir menewaskan kita.
“Kita juga sering kehilangan bola selain gagal menembusi banteng pertahanan lawan yang begitu ‘kebal’ untuk ditembusi dan ia hanya dapat diatasi jika kita dapat beraksi sebagai satu pasukan,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Erling Haaland menjaringkan gol pembukaan buat Norway pada minit ke-20, namun Davy Kaassen menjaringkan gol penyamaan buat Belanda pada minit ke-36.
Belanda yang kini berada pada kedudukan kedua Kumpulan G berpeluang memperbaiki kedudukan berkenaan apabila berdepan Montenegro pada Sabtu di gelanggang sendiribakal berdepan Montenegro pada Sabtu.
Sementara itu Van Gaal berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemain-pemain muda yang diturunkan pada perlawanan berkenaan.
Malah katanya, formasi 4-3-3 yang digunakannya juga agak menjadi dengan menyaksikan kedua-dua pemain sayap dilihat berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Norway.
“Apa yang kami cuba lakukan adalah untuk terus menguasi bola di sebahagian besar perlawanan dan menunggu masa yang sesuai untuk mengasak ke pintu gol lawan.
“Tetapi, kegagalan serta kesilapan yang dilakukan menyaksikan kita gagal mencatatkan kemenangan yang diharap-harapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!