Getah sekerap terabur atas Jambatan Victoria, pekebun maut terbabas
SUNGAI SIPUT - Seorang pekebun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas ketika melalui laluan pejalan kaki di Jambatan Victoria di sini pada Khamis.
Dalam kejadian sekitar jam 7.50 pagi itu, lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal di jambatan yang menghubung Karai ke Seberang Karai dengan membawa getah sekerap.
"Berdasarkan bekas geseran pada tiang besi di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar tiang besi di tepi laluan pejalan kaki berkenaan.
"Kejadian itu menyebabkan motosikal mangsa tersepit di celah jambatan," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!