36 ADUN Negeri Sembilan bebas Covid-19
SEREMBAN - Seramai 36 Ahli Dewan Undangan Negeri yang akan menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Jumaat bebas daripada Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pada Selasa.
Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Zulkefly Mohammad Omar berkata, semua wakil rakyat termasuk pihak pembangkang selesai menjalani ujian calitan di Wisma Negeri dan hasil keputusan mereka semuanya negatif.
"Bagaimana pun terdapat tiga individu yang terdiri daripada dua anggota keselamatan dan seorang pengarah daripada sebuah jabatan disahkan positif Covid-19.
"Mereka yang gagal ujian calitan ini tidak dibenarkan hadir dan diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, Zulkifle memberitahu semua wakil rakyat dan pegawai terlibat telah dibekalkan dengan kit saringan kendiri Covid-19 bagi membolehkan mereka membuat ujian sendiri di rumah sebelum memasuki dewan.
Tambahnya, sebelum memasuki dewan persidangan, mereka perlu menunjukkan hasil ujian yang dilakukan di rumah bagi memastikan semua ADUN berada dalam keadaan sihat dan benar-benar bebas daripada jangkitan Covid-19.
"Sidang dewan akan berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka, membuat imbasan suhu dan penjarakkan sosial semasa berada dalam dewan," katanya.
Persidangan DUN Negeri Sembilan akan berlangsung selama empat hari bermula Jumaat, dimulakan dengan titah perasmian Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Persidangan akan diteruskan dengan membahaskan titah ucapan Tuanku Muhriz, selain beberapa Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibawa ketika persidangan kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!