Veteran UMNO gesa bentang segera Akta Mencegah Lompat Parti

Datuk Mustapha Yaakob. -Foto: Facebook Mustapha Yaakob
Datuk Mustapha Yaakob. -Foto: Facebook Mustapha Yaakob
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO mahu Akta Mencegah Lompat Parti dibentang di Parlimen sekali gus memelihara kredibiliti dan moral ahli Parlimen yang mengabaikan amanah parti.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakob berkata, pihaknya menyokong saranan yang dibuat Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said itu dan mengharapkan semua ahli Parlimen dan parti politik menyokongnya sebulat suara.

Menurutnya, akta itu akan dapat menjamin amanah pengundi yang memilih seseorang ahli Parlimen untuk mewakili mereka berdasarkan parti yang dianggotai.

“Apa yang paling penting ialah ia dapat mengembalikan imej demokrasi negara dan politik yang tercalar teruk akibat permainan ‘katak politik’ yang melompat parti demi habuan dan kepentingan peribadi.

“Selain membendung dan menyekat ahli Parlimen melompat daripada parti asal yang mereka menangi dalam pilihan raya kepada parti lain atas apa alasan sekali pun, akta itu juga akan memelihara kredibiliti ahli Parlimen tersebut dan menjaga moral parti dari perlakuan mereka yang tidak bertanggung jawab mengabaikan amanah parti kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Mustapha, jika tiada tindakan diambil terhadap mereka yang melompat parti, ia bukan saja meruntuhkan sistem demokrasi bahkan akan merosakkan pentadbiran dan membantutkan pembangunan negara.

Perkara paling jelas katanya, melihatkan apa yang berlaku terhadap negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan beberapa kali pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri.

“Daripada pengalaman yang lalu, mereka yang melompat parti itu disebabkan oleh kepentingan peribadi dan bukannya atas alasan kepentingan rakyat serta pengundi.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, wajarlah rakyat dan pengundi memilih semula untuk menentukan wakil yang patut mewakili mereka. Ini bagi mengembalikan kuasa pemilihan itu kepada rakyat kerana akhirnya pengundi adalah yang memuktamadkan pemilihan wakil mereka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!