Penjual kuih didenda RM5,000 sebar berita palsu Covid-19
MELAKA - Perbuatan seorang penjual kuih menyebarkan berita palsu mengenai kematian sebuah keluarga akibat Covid-19 membawa padah apabila didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Mohd Affendi Kamal Haminuddin, 39, mengaku salah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Affendi didakwa telah menyebarkan berita tidak benar di akaun Facebook miliknya dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.
Lelaki itu telah memuat naik hantaran 'kuarantin dekat rumah sebab tiada simptom. Satu family... sepatutnya kena pergi janji temu dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk ujian saringan tapi mereka sekeluarga tidak hadirkan diri. Bila KKM datang ke rumah semua dah mati dalam rumah'.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Kampung Panchor, Durian Tunggal, Alor Gajah pada jam 9 pagi, 26 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut 4(1) ordinan darurat (Kuasa-kuasa Perlu)(No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dia juga boleh didenda sehingga RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Mohd Affendi yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan kerana hanya bekerja sebagai penjual kuih dan perlu menanggung isteri serta dua anak.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad bagaimanapun memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira kesalahan itu adalah serius dan mendatangkan kebimbangan orang awam di saat negara dilanda pandemik.
Maziah Joary kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara lima bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!