Capaian jaringan telekomunikasi dipertingkatkan di Balik Pulau

Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang komited dalam memastikan seluruh negeri ini dapat mencapai jaringan telekomunikasi yang optimum termasuk di kawasan luar bandar.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, kawasan Balik Pulau telah dikenal pasti sebagai kawasan kurang mendapat liputan dengan kadar penembusan jalur lebar mudah alih adalah sebanyak 80.79 peratus.

Menurutnya, sebanyak 973 buah premis di kawasan Balik Pulau telah diliputi dengan jajaran internet jalur lebar talian tetap dan sebanyak 37 buah stesen pemancar telah dinaik taraf untuk menampung keperluan dan permintaan penduduk tempatan.

"Melalui perancangan di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) dan Penang Connectivity Master Plan (PCMP), sebanyak 1,676 buah premis di kawasan Balik Pulau akan diliputi dengan internet jalur lebar talian tetap.

"Bagi internet jalur lebar mudah alih pula, terdapat perancangan sebuah struktur telekomunikasi baharu akan dibina di kawasan tersebut," katanya semasa sesi soalan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini pada Khamis.

Zairil (DAP-Tanjong Bunga) berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama semua pemegang taruh seperti pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan terus memantau keperluan menambah baik liputan komunikasi yang disediakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi.

"Ia bagi meningkatkan usaha untuk mengurangkan jurang digital dalam kalangan masyarakat," katanya.

Jelasnya, usaha itu selaras dengan pembangunan digital di kawasan-kawasan awam seperti pelaksanaan inisiatif tanpa tunai, bekerja dari rumah serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!