Najib diarah fail penyataan pembelaan selewat-lewatnya 11 Oktober

Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab saman yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri itu berhubung dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC sebanyak RM42 juta, selewat-lewatnya pada 11 Oktober ini.

Menurut seorang peguam daripada Rosli Dahlan Saravana Partnership yang bertindak bagi pihak SRC, mahkamah juga mengarahkan plaintif (SRC) memfailkan jawapan terhadap pembelaan itu selewat-lewatnya pada 13 Disember ini.

"Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 14 Disember ini secara dalam talian (e-Review)," katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding pengurusan kes hari ini yang dikendalikan secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Noordura Mohamed Din.

SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB), anak syarikat milik penuh SRC, memfailkan writ saman pada 7 Mei lalu, mendakwa Najib melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) mendakwa melalui satu surat pelantikan bertarikh 3 September 2014, SRC telah melantik Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) (dahulu dikenali sebagai Gem Horizon Sdn Bhd) sebagai rakan kongsi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Dakwanya, antara Disember 2014 dan April 2015, SRC telah mengeluarkan dana berjumlah RM123 juta ke dalam akaun bank IPSB yang kononnya untuk tujuan CSR dan geran telah diberikan kepada IPSB tanpa kelulusan daripada Lembaga SRC dan GMSB.

Plaintif mendakwa IPSB memindahkan dana yang diterima di bawah geran itu kepada pelbagai pihak ketiga bagi pihak IPSB termasuk sejumlah RM42 juta telah dipindahkan ke dua akaun milik Najib kononnya untuk tujuan CSR antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Artikel Berkaitan:

SRC juga mendakwa Najib dalam kapasitinya selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus SRC ketika itu bertindak secara tidak jujur dalam membantu bekas pengarah SRC dan bekas pengarah GMSB dalam melanggar pelbagai kewajipan statutori serta melakukan pecah amanah apabila gagal untuk memeriksa dengan pihak Bank AmIslamic mengenai jumlah penyelewengan yang dimasukkan ke dalam akaun-akaun bank Najib.

Oleh itu, plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa plaintif berhak mengikuti dan mengesan wang RM42 juta itu dan menuntut hak milik ekuiti ke atas wang tersebut atau sebarang harta yang diperoleh Najib dengan menggunakan wang berkenaan selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!