Padah gurau ugut bakar kedai, minta wang perlindungan
PETALING JAYA – Niat bergurau dengan mengugut seorang pemilik restoran untuk mendapatkan wang perlindungan membawa padah apabila dia didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Bekas pekerja kilang, K Theepan Raj, 23, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.
Mahkamah memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara selama empat bulan, jika gagal membayar denda.
Nurshahira: Apa tujuan anda mesej peniaga tersebut?
Theepan Raj: Saya main-main sahaja, minta wang perlindungan daripada dia.
Nurshahira: Main-main dengan hidup orang. Pengadu berniaga untuk cari rezeki, boleh anda cakap anda cuma main-main. Lepas itu, minta pula wang perlindungan?
Theepan Raj: Saya minta maaf, saya cuma main-main sebab ada orang beritahu, jika saya ugut, saya akan dapat duit.
Nurshahira: Memandangkan anda masih muda, tidak matang dan ini merupakan kesalahan pertama anda, saya harap ia menjadi peluang kedua untuk anda betulkan keadaan. Saya juga berharap anda minta maaf dengan peniaga itu.
Mengikut pertuduhan, anak kedua daripada lima beradik itu didapati menakutkan secara jenayah melalui aplikasi WhatsApp dengan mengugut akan membakar kedai R Venod Rao, 32, (pengadu).
Kesalahan dilakukan di sebuah restoran di Jalan Yong Shook Lin, Bandar Baru di sini, pada jam 2.24 petang, 27 Julai lalu.
Atas kesalahan itu, dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika berada di restoran, pengadu menerima mesej WhatsApp daripada tertuduh yang menyatakan mahu membakar kedai sekiranya tidak memberi wang RM500.
Pengadu yang takut dengan ugutan tersebut bertindak membuat laporan polis.
Semasa prosiding, peguam, Datin Raj Preet Kaur yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi hukuman ringan dengan alasan kesal dan insaf dengan perbuatan yang dilakukan.
“Ekoran kes ini, dia diberhentikan kerja malah selepas direman, ia memberi pengajaran kepadanya supaya tidak mengulangi kesilapan sama di masa depan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa mencadangkan kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!