Mohamad Yusof tamatkan aksi paralimpik Tokyo di kedudukan ke-33
PELUMBA berbasikal lebuh raya kebangsaan, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menamatkan aksinya di Sukan Paralimpik Tokyo dengan menduduki tempat ke-33 dalam acara lebuh raya lelaki C1-3 (kecacatan fizikal).
Hujan yang membasahi Fuji International Speedway, Shizuoka, kira-kira 109 kilometer dari sini, merencatkan prestasi pelumba berusia 23 tahun itu untuk mempamerkan kayuhan bertenaga dalam acara yang disertai 39 pelumba pada hari ketiga sukan berkenaan berlangsung.
Mohamad Yusof yang membuat kemunculan pertama di pentas Paralimpik mengakhiri saingan dengan ketinggalan satu pusingan berbanding pelumba di kelompok hadapan.
Dua pelumba Great Britain, Benjamin Watson dengan catatan masa 2 jam 04:23 saat dan Finlay Graham yang merekodkan masa 2:05:43s masing-masing menyumbang emas dan perak.
Alexandre Leaute dari Perancis pula meraih gangsa dengan catatan 2:11:06s.
Selasa lepas, Mohamad Yusof menampilkan kayuhan memberangsangkan dalam acara ujian masa lelaki C1 (kecacatan fizikal), juga di venue sama.
Beliau menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan masa 26:46.5s daripada 11 pelumba dalam aksi final. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!