Netizen Malaysia diminta berhenti 'serang' kem Ukraine: CDM

Megat D Shahriman
Megat D Shahriman
A
A
A

NETIZEN Malaysia dinasihatkan agar berhenti daripada membuat kecaman terhadap kem Ukraine dan bertenang dengan situasi menyelubungi kontinjen negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengingatkan orang ramai agar menunjukkan teladan lebih baik bagi mengelak daripada memberi imej buruk kepada negara di mata orang luar susulan tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh netizen.

”Kita semua orang yang penuh dengan adab dan mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada orang lain, tunjuklah contoh yang baik.

“Janganlah menyalahkan negara lain, sebaliknya kita cuba perbaiki diri untuk menjadi manusia yang lebih baik. Saya faham rakyat Malaysia ada yang geram dengan keputusan itu tapi apa yang paling penting kita harus melangkah ke depan” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan netizen Malaysia yang menyerang laman sosial atlet Ukraine serta Jawatankuasa Paralimpik Ukraine selepas berang dengan keputusan kontroversi acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) di temasya berprestij itu baru-baru ini.

Pada Selasa, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad Zolkefli dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.

Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29 m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Olahraga Para Dunia (WPA) menolak rayuan dikemukakan Malaysia berhubung keputusan itu, namun pihak Jawatankuasa Penganjur memaklumkan segala protes dan rayuan susulan boleh dibuat secara bertulis kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan WPA sejurus temasya berakhir.

Pembatalan pingat emas Muhammad Ziyad adalah berdasarkan Peraturan 5.5 WPA - 'Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu' yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual bilik menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.

Mengulas lanjut, Megat D Shahriman menghormati tindakan Ukraine kerana mereka mempunyai hak untuk membuat protes berhubung keputusan acara lontar peluru itu, seperti dibenarkan dalam peraturan pertandingan sukan.

Beliau juga merayu semua rakyat Malaysia agar melupakan insiden berkenaan dan kembali fokus serta bersatu memberi sokongan kepada perjuangan atlet negara dalam misi mereka mencapai sasaran membawa pulang tiga emas dari Jepun.

Sementara itu, Megat D Shahriman yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menghormati keputusan Australia yang mengakui kekhilafan mereka sehingga menyaksikan atletnya, Todd Hodgetts turut diklasifikasikan sebagai DNS.

Menurut beliau, pihaknya menyerahkan kepada Jawatankuasa Siasatan berhubung insiden itu dan akan memaklumkan perkembangan selanjutnya selepas temasya berakhir Ahad ini.

Cabaran Malaysia kini terletak kepada tiga atlet dari olahraga termasuk dua pemenang emas Rio 2016 iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly selain Wong Kar Gee, diikuti S. Suresh (memanah), Cheah Liek Hou (badminton) dan Brenda Anellia Larry (renang). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!