PM Thailand nafi rombak kabinet, bubar Parlimen

Prayuth Chan o-cha
Prayuth Chan o-cha
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha yang menghadapi perbahasan undi tidak percaya di Parlimen menafikan desas-desus bahawa beliau didesak oleh kumpulan anggota Parlimen tertentu untuk merombak kabinetnya dan membubarkan Dewan Perwakilan.

Prayuth yang mengambil alih kuasa dalam kudeta tentera pada 2014 dan kemudian dilantik sebagai perdana menteri selepas pilihan raya 2019 mengatakan beliau akan terus berkhidmat hingga penggal empat tahunnya tamat pada 2023.

"Tidak akan ada pembubaran Dewan. Kami bekerja keras untuk menangani isu-isu penting. Tidak ada sebab mengapa saya harus membubarkan Dewan.

"Ia tidak terlintas dalam fikiran saya. Siapa pun yang membincangkannya harus berhati-hati, jika tujuan mereka untuk menimbulkan kekacauan semasa perbahasan atau apapun," katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana dalam satu kenyataan pada Khamis mengatakan tidak ada rombakan kabinet atau pembubaran Dewan, dan berita dan maklumat berkaitan perkara itu sama sekali tidak berasas.

Beliau meminta masyarakat untuk menaruh kepercayaan kepada kerajaan dan perdana menteri yang komited sepenuhnya dalam memimpin negara dan rakyat keluar daripada krisis Covid-19.

Parti pembangkang Thailand pada Isnin memulakan perbahasan undi tidak percaya terhdap perdana menteri dan lima menteri kabinet atas alasan kerajaan lemah dalam menangani penularan Covid-19 dalam negara.

Menteri kabinet yang menjadi sasaran ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul, Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob, Menteri Pertanian Chalermchai Sri-on, Menteri Sumber Manusia Suchart Chomklin dan Menteri Ekonomi dan Masyarakat Digital Chaiwat Thanakamanusorn.

Artikel Berkaitan:

Prayuth, yang juga Menteri Pertahanan diramalkan dapat mengatasi undi tidak percaya yang dijadualkan pada Sabtu dengan sokongan parti-parti gabungan.

Ini perbahasan tidak percaya ketiga terhadap kerajaan Prayuth sejak dipilih pada Julai 2019. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!