Guru KAFA, pegawai masjid enggan divaksin mungkin dilarang bertugas

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Facebook Selangor Royal Office
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Facebook Selangor Royal Office
A
A
A

SHAH ALAM - Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang masih berdegil enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 bakal berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memberikan peringatan sama kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Baginda menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat dalam kalangan golongan itu yang memilih untuk tidak mahu divaksin kerana tindakan itu membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

Sultan Selangor bertitah, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad telah memberikan maklumat terperinci mengenai maklumat pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan guru KAFA, pegawai masjid dan surau serta jurunikah di bawah pentadbiran JAIS.

"Beta difahamkan seramai 326 orang guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 95 orang guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin berkenaan.

"Sementara itu, seramai 59 orang pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian.

"Sembilan orang jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenal pasti enggan menerima vaksin," titah baginda menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office pada Khamis.

Baginda bertitah, Jabatan Kesihatan Selangor diharapkan dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap golongan berkenaan kerana bimbang boleh memudaratkan pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid- 19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian.

"Malah beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Selangor adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin," titah baginda.

Baginda turut memaklumkan terdapat 268 guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 guru sekolah menengah kebangsaan di Selangor turut enggan divaksin dan perkara itu perlu diambil perhatian oleh pihak berwajib.

Titah baginda lagi, pakar-pakar perubatan telah mengesahkan bahawa vaksin adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini.

"Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan," titahnya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengingatkan bahawa Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan.

"Justeru, rakyat beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

"Isu-isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 ini telah banyak kali disebut di dalam khutbah-khutbah Jumaat dan juga menerusi kenyataan-kenyataan akhbar yang beta keluarkan, " titah baginda

Baginda menyeru rakyat Selangor mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Penyuntikan Vaksin (PPV) yang disediakan untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat di sekelilling.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!