Pemandu, kelindan maut lori jatuh gaung
BENTONG - Pemandu dan kelindan maut selepas lori dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter di Kilometer (KM) 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, pemandu lori terbabit, Nazli Misnon, 56 dan kelindannya, Anwar Tushali Arimi Mualimin, 25 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan mendapati lori yang membawa muatan baja itu dari Sabak Bernam, Selangor menghala ke Raub, Pahang.
Menurutnya, lori itu hilang kawalan di selekoh 43.5 KM lalu terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam gaung.
"Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa tersepit di bawah lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Zaiham berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Kita memohon mana-mana pihak yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan.
"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar sentiasa memandu kenderaan masing-masing secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik serta selamat," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!