Beruk makin mengganas
LABIS - Kewujudan habitat beruk di Kampung Paya Merah Lama di sini, semakin membimbangkan apabila kumpulan haiwan itu dikatakan mula berani menyerang orang ramai.
Dalam kejadian dua minggu lalu, penduduk, Mohd Suhaimi Mohd Yusuf,49, mendakwa menjadi serangan mangsa haiwan liar berkenaan apabila diserang ketika menunggang motosikal.
Menurutnya, meskipun dicederakan seekor beruk, namun kecederaan dialami agak parah apabila dia sukar bergerak dan terpaksa mengesot sejak kejadian itu.
“Kejadian berlaku jam 6.30 petang 10 Februari lalu sewaktu saya sedang menunggang motosikal bersendirian di sekitar Kampung Paya Merah Lama untuk mengalihkan beberapa ekor lembu yang ditambat pada sebelah pagi.
"Saya tidak menyedari kedatangan seekor beruk itu yang secara tiba-tiba menyerang dan menggigit kaki kanan saya.
“Bagaimanapun, mujur saya ada parang dan sempat memberhentikan motosikal. Dalam keadaan cemas, saya menghunus parang yang dibawa bagi mempertahankan diri dari terus dicederakan," katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita sewaktu menerima kunjungan rombongan Ketua UMNO Bahagian Labis, Mohd Azahar Ibrahim di rumahnya di Taman Seri Bayu di sini, baru-baru ini.
Akibat kejadian itu, Mohd Suhaimi yang juga penjual air tebu mengalami kecederaan di belakang kaki kanan dan menerima lebih 10 jahitan selain turut mengalami luka di beberapa tempat lain.
“Walaupun lebih 10 hari kejadian itu berlaku, kaki ini masih bengkak menyebabkan saya tidak dapat berdiri dan hanya mampu mengesot untuk bergerak dalam rumah.
"Malah, saya bimbang tidak dapat berniaga dan hilang mata pencarian jika kecederaan memakan masa untuk pulih memandangkan hanya itu sahaja punca pendapatan kami sekeluarga,” katanya.
Menurutnya, beberapa hari selepas dia diserang seorang lagi penduduk turut diserang oleh haiwan sama di kawasan berhampiran dan menerima 10 jahitan di tangan kanan.
“Pihak berkaitan perlu bertindak menangkap haiwan liar tersebut dengan segera bagi mengelakkan orang ramai terutama kanak-kanak yang melalui kawasan tersebut menjadi mangsa, " katanya.
Sementara itu, Mohd Azahar berkata, pihaknya telah pun melaporkan kejadian tersebut kepada pihak Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Segamat untuk tindakan selanjutnya.
"Pihak Perhilitan telah pun mengambil tindakan memburu haiwan liar tersebut, namun malangnya beruk tersebut masih belum dapat ditangkap dan saya harap orang ramai terutama yang menaiki motosikal dan basikal agar berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!