Dek Wan sudah bersedia: Jeganathan

Jeganathan yakin Ridzuan mampu mencipta keputusan positif di Paralimpik Tokyo 2020.
Jeganathan yakin Ridzuan mampu mencipta keputusan positif di Paralimpik Tokyo 2020.
A
A
A

JURULATIH olahraga para negara, R Jeganathan optimis atlet pecut para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi mampu mara ke final acara 100 meter (m) T36 Sukan Paralimplik Tokyo 2020.

Menurut Jeganathan, Ridzuan begitu bersemangat ketika ini sekali gus memberikan petanda bahawa atlet berusia 34 tahun itu bakal mencatatkan kejayaan pada aksi berkenaan.

“Ketika ini dia dalam prestasi terbaik dan saya yakin dia akan layak untuk ke final nanti. Saya rasa tidak ada masalah untuk dia mengharungi saringan bagi acara ini dan seterusnya bertanding di final nanti.

“Selain itu saya lihat dia sudah cukup bersedia untuk mengulangi pencapaiannya memenangi emas pada Sukan Paralimpik Rio 2016 lalu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Ridzuan mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik, menerusi acara 100m T36 lelaki di Rio 2016 dan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s, di Beijing 2008.

Sementara itu, Jeganathan turut yakin Ridzuan akan berjaya mencatatkan masa terbaik pada temasya Paralimpik kali ini.

Katanya, berdasarkan prestasi semasa Ridzuan, atlet berkenaan dilihat mampu mengatasi catatan 11.87 saat yang dicatatkannya pada Sukan Para Asia di Jakarta pada 2018 lalu.

“Berdasarkan kepada prestasinya, saya yakin dia mampu melakukan dan seterusnya memenangi perlumbaan dengan mencatatkan masa yang lebih baik kali ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!