Suasana di Masjid India lesu, peniaga terjejas 80 peratus
KUALA LUMPUR - Hampir sebahagian besar premis perniagaan termasuk medan selera di Masjid India masih belum beroperasi meskipun sektor ekonomi sudah dibuka sejak 16 Ogos lalu untuk negeri-negeri Fasa 1.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, jalan-jalan di sekitar Masjd India kelihatan lengang dan agak lesu dengan jumlah pengunjung yang kurang memberangsangkan.
Seorang pengusaha nasi campur, Harun Mohamad, 62, memberitahu, kebenaran makan di premis (dine-in) tidak banyak membantu peniaga di medan selera di Masjid India.
Menurutnya, perniagaan yang dijalankan merosot 80 peratus sejak sekatan pergerakan penuh pada Mei lalu dan pelanggan lebih selesa membungkus makanan berbanding menikmati di kedai.
Katanya, jika sebelum ini medan selera penuhi orang ramai, mencecah sehingga 1,000 pelanggan sehari, kini angkanya berkurangan sekitar 200 ke 300 orang sahaja.
"Hujung minggu pun keadaannya serupa. Jika pasar malam sudah mula beroperasi sekali pun, angkanya tidak berubah kerana orang masih berhati-hati, tidak keluar rumah kecuali ada urusan.
"Selain itu, kebanyakan peniaga belum bersedia memulakan perniagaan dan pelanggan pula belum sedia untuk makan di premis kerana bimbang dikompaun susulan prosedur operasi standard (SOP) yang hanya membenarkan mereka yang sudah lengkap terima vaksin dibenarkan makan di kedai.
"Ada premis yang benarkan pelanggan tidak lengkap vaksin masuk ke kedai, ada pula kedai yang hanya benarkan lengkap dua vaksin makan di kedai. Itu antara faktor yang menyebabkan pelanggan masih kurang buat masa ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Seorang pekerja kedai pakaian, Hasnah Shuaidi, 50, memberitahu, kebenaran kedai pakaian beroperasi bermula 16 Ogos lalu begitu melegakannya kerana dia sudah boleh mula bekerja.
"Namun sambutan agak hambar, sehari hanya ada dua hingga tiga pelanggan sahaja. Ada masa jam 3 petang kami sudah tutup kedai sebab tiada pelanggan dan kawasan di Wisma Yakin agak lengang.
"Harap bulan depan perniagaan akan bertambah baik. Bagi kurangkan kerugian, kami buka perniagaan dalam talian tanpa terlalu bergantung pelanggan yang datang ke kedai," katanya.
Sementara itu, pekerja kedai emas, Gul Fisha Khan, 45, berkata, walapun peniagaan agak perlahan, namun setiap hari kedainya dikunjungi pelanggan.
"Kedai emas memang sentiasa ada bisnes kerana orang minat beli emas untuk simpanan masa hadapan.
"Jumlah pelanggan tidak menentu dan ikut masa. Selepas orang ramai dibenarkan membuat pengeluaran i-Sinar tempoh hari, ramai juga pelanggan datang ke kedai,'' katanya.
Menurut Gul Fisha, buat masa ini sekurang-kurangnya dia menerima sekitar 10 pelanggan sehari dengan jumlah yang meningkat pada hujung minggu.
Sebanyak 11 sektor ekonomi telah dibuka semula untuk negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 16 Ogos lalu. Antaranya termasuklah kedai cuci kereta, elektrik dan elektronik, barangan rumah dan peralatan dapur serta perabot.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!