Wanita bersalin sendirian di HSI tidak patut berlaku lagi: TMJ
JOHOR BAHRU -Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan, kejadian seorang wanita bersalin secara bersendirian didakwa di sebuah hospital tidak patut berlaku lagi.
Tunku Ismail dalam ciapan di akaun Twitter baginda bertitah, peringatan dan amaran akan diberikan kepada pihak terlibat agar menjalankan tugas bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pesakit.
"Saya telah menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan melihat kenyataan jabatan itu.
"Pihak-pihak tertentu akan diberikan peringatan dan amaran supaya memastikan keselamatan dan keselesaan para pesakit sentiasa dijamin. Perkara-perkara yang tidak diinginkan seperti ini tidak patut berlaku lagi," titah baginda dalam ciapan pada Khamis.
Ciapan berkenaan selepas netizen berkongsi mengenai insiden wanita berkenaan bersalin sendirian kepada baginda di laman Twitter.
Sebelum itu pada Jumaat, JKNJ dilaporkan akan menjalankan siasatan mengenai dakwaan seorang ibu yang bersalin seorang diri di dewan bersalin HSI, di sini, bulan lalu yang tular.
Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu, berkata, secara keseluruhannya aduan itu adalah berasas dan JKNK akan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan.
Pada Selasa, tular di media sosial, dakwaan seorang wanita membuat hantaran di Facebook miliknya mendakwa bahawa dia terpaksa melahirkan anak seorang diri di bilik pengasingan khas bagi ibu hamil yang positif Covid-19 setelah panggilannya untuk meminta bantuan kakitangan hospital tidak dilayan.
Wanita itu memuat naik status berkenaan di akaun Facebook miliknya pada 31 Julai, namun hanya menjadi tular sejak kelmarin ( Selasa).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!