Menjunjung wasiat dan rizab Melayu

A
A
A

PENGAMBILAN tanah rizab Melayu untuk pembangunan dan sering tidak diganti dengan keluasan atau nilai sama merupakan antara isu yang memberi kesan serius kepada kedudukan Tanah Rizab Melayu sekarang.

Lebih memburukkan keadaan apabila tanah rizab untuk kesejahteraan orang Melayu sering kali ditadbir sebagai 'tanah terbiar' atau 'tanah kurang nilai' sehingga menjatuhkan nilai pasaran hartanah yang amat berharga itu.

Jesteru, pembentukan Lembaga Nasional Tanah Rizab Melayu (LNTRM) bagi memulihara Tanah Rizab Melayu, adalah antara sembilan resolusi yang dicadang dan dipersetujui pada Konvensyen Tanah Rizab Melayu 2019.

Konvensyen bertemakan ‘Menjunjung Wasiat Raja-Raja Melayu dan Memelihara Tanah Rizab Melayu’, dianjurkan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu dan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah (Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sebenarnya persoalan rizab Melayu termaktub dalam 7 Wasiat Raja-Raja Melayu dan Pemimpin-pemimpin yang diperbuat semasa merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957. Di antara pernyataan wasiat berkenaan adalah: “Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera”.

Wasiat kedua itu menyatakan: Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Persoalannya, wasiat yang diwartakan oleh Raja-raja Melayu termasuk rizab Melayu semakin terhakis dan dikesampingkan. Pentadbir tanah dan pihak berwajib yang dipertanggungjawabkan sebagai “pemegang amanah” terhadap kelestarian dan keselamatan rizab Melayu dilihat kurang menumpukan kepada pembangunan dan juga pemeliharaannya.

Mungkin secara sedar atau tidak rizab Melayu telah banyak diceroboh dan ditukar milik kepada bukan Melayu.

Artikel Berkaitan:

Sedangkan matlamat Tanah Rizab Melayu adalah untuk menyekat tanah kerajaan dalam kawasan rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara sekalipun kepada bukan Melayu. Begitu juga Tanah Rizab Melayu juga bermatlamat agar menyekat tanah pegangan Melayu daripada dibuat apa-apa urus niaga persendirian (private dealing) di antara Melayu dan bukan Melayu

Memandangkan hal ehwal Tanah Rizab Melayu adalah tertakluk kepada enakmen negeri-negeri yang mengandungi pelbagai peruntukan, maka dicadangkan supaya sebuah Lembaga Nasional Tanah Rizab Melayu ditubuhkan di bawah Majlis Tanah Negara untuk memastikan undang-undang dipatuhi menyelaras segala bentuk penggunaan. Mengawal segala jenis transaksi dan memastikan kedudukannya sebagai Tanah Rizab Melayu terpelihara dari segala macam penyelewengan, salah guna dan juga pelupusan.

LNTRM wajar bekerjasama dengan semua badan korporat Melayu, jabatan kerajaan dan lembaga-lembaga awam lain untuk pembangunan Tanah Rizab Melayu. Dengan memastikan hak milik, nilai dan manfaat kekal terpelihara bagi kepentingan orang Melayu.

Sehubungan itu, kerajaan-kerajaan negeri wajar melakukan audit Tanah Rizab Melayu untuk memastikan kepatuhan undang-undang sebagai Tanah Rizab Melayu, keluasan yang masih ada, status pemilikan dan juga mengambil kembali bidang-bidang tanah dalam Tanah Rizab Melayu yang telah bertukar tangan secara proksi.

Malahan, kerajaan-kerajaan negeri wajar memastikan semua kawasan Tanah Rizab Melayu yang telah terbangun digantikan dengan bidang tanah lain seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 89.

Pelbagai pembangunan prasarana dan kemudahan sosial di sekitar Tanah Rizab Melayu supaya Tanah Rizab Melayu menjadi pusat pembangunan sekali gus meningkatkan nilai tanah dan membolehkan para pemilik berkecimpung dan mendapat manfaat daripada pembangunan Tanah Rizab Melayu secara langsung mahupun tidak langsung.

Adalah dicadangkan agar Kerajaan Pusat, melalui kementerian-kementerian ekonomi, keusahawanan dan luar bandar membentuk sebuah Lembaga Pembangunan Tanah Rizab Melayu dengan peruntukan modal bagi melaksanakan pelbagai bentuk pembangunan yang bermanfaat kepada masyarakat Melayu seluruhnya.

Lembaga Pembangunan Tanah Rizab Melayu boleh bertindak sebagai pelindung kepada Tanah Rizab Melayu yang tergadai, terbahagi kecil-kecilan dan terlupus oleh proses pembangunan.

Kita mesti mencari jalan untuk membenarkan pembangunan di atas Tanah Rizab Melayu tanpa menggugat kedaulatan tanah tersebut. Ahli ilmuwan, pemikir serta pakar dalam bidang ini amat penting untuk kerajaan menggubal polisi-polisi untuk masa depan Tanah Rizab Melayu terus dibela dan dipelihara.

Kita juga perlu memastikan agar kerajaan memikirkan isu Tanah Rizab Melayu dan cara-cara mengatasinya, orang Melayu juga mempunyai peranan serta tanggungjawab secara peribadi dalam menangani isu pemilikan tanah secara amnya di negara ini. Bukan sahaja perlu dilihat dari perspektif pemilikan orang-orang Melayu ke atas Tanah Rizab Melayu, tetapi juga ke atas tanah-tanah yang berstatus bukan rizab Melayu.

Usaha secara bersepadu dan tuntas handaklah dilakukan agar wasiat dan khazanah Melayu dapat terus dipertahankan dan diperlihara. Kita perlu bertegas dengan apa juga bentuk untuk menghakis dan menghapuskan Tanah Rizab Melayu oleh mana-mana pihak berkepentingan.

Kita tak mahu pada masa hadapan, jika kita tidak mengawal dan memantau isu Tanah Rizab Melayu secara serius menyebabkan tanpa disedari kita semakin kehilangan hak dan juga warisan sejak nenek moyang kita. Jangan sampai kita melarat di tanah sendiri bak kata pepatah, “menang sorak, tanah tergadai” atau, “ayam di kepok mati kelaparan, itik di air mati kehausan”.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!