Itali kempunan tiga mata

MANCINI
MANCINI
A
A
A

PENGENDALI Itali, Roberto Mancini mengharapkan persembahan lebih baik dipamerkan pasukannya ketika berdepan Switzerland selepas hanya merekodkan keputusan seri 1-1 dengan Bulgaria dalam aksi Kumpulan C, Kelayakan Piala Dunia pada awal pagi Jumaat.

Menurut Mancini, dia menyedari kemungkinan para pemainnya sedikit keletihan dalam perlawanan itu, namun mengharapkan persembahan lebih klinikal dapat di terjemahkan ketika berdepan Switzerland.

"Sekarang, perkara paling penting adalah untuk kembali cergas dan bersedia untuk perlawanan seterusnya. Kami banyak menyerang dalam perlawanan tersebut dan menjadi sedikit tidak tersusun menyebabkan pemain keletihan.

"Namun, kami mencipta banyak peluang. Ini adalah bola sepak dan ia berlaku hari ini dan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Apabila sesebuah pasukan menyerang, mereka akan membuka sedikit kelemahan kepada lawan dan gol yang kami lepaskan sepatutnya tidak berlaku.

"Tetapi, tidak mengapa. Kami akan lebih fokus di Basel. Ia akan menjadi perlawanan yang berbeza dengan corak permainan Switzerland yang juga cukup sukar. Kami perlu bermain dengan baik dan itu apa yang kami akan lakukan," katanya.

Pada aksi di laman sendiri itu selepas memenangi Euro 2020, Itali terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Federico Chiesa sebelum Bulgaria menyamakan kedudukan melalui serangan balas pantas yang disudahkan Atanas Iliev pada minit ke-39.

Walaupun gagal untuk meraih tiga mata berharga, Itali berjaya menyamai rekod 35 perlawanan tanpa kalah yang pernah dilakukan oleh Sepanyol sebelum ini.

Malah, jika mereka tidak kalah kepada Switzerland pada Ahad ini, mereka akan turut menyamai rekod tanpa kalah di peringkat antarabangsa yang dipegang Brazil pada 1993 sehingga 1996.

Artikel Berkaitan:

"Selepas gol pertama, kami perlu memastikan kemenangan dan kami akan mengambil contoh sikap separuh masa kedua ketika berdepan Switzerland.

"Kami perlu lebih klinikal, tetapi para pemain telah memberikan yang terbaik hari ini. Kami juga gembira dengan rekod hari ini (tanpa kalah dalam 35 perlawanan) tetapi lebih gembira jika kami menang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!