Langkah sumbang Sepanyol
PENGENDALI Sepanyol, Luis Enrique menyifatkan kekalahan 1-2 kepada Sweden dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Dunia di Friends Arena pada awal pagi Jumaat sebagai amat mengecewakan.
Menurutnya, skuad La Roja itu gagal untuk mengatasi serangan balas pantas yang dilakukan Sweden sekali gus menyaksikan mereka kehilangan tiga mata berharga.
Kekalahan itu turut menyaksikan Sepanyol menderita kekalahan pertama dalam saingan kelayakan Piala Dunia sejak kali terakhir mereka tewas kepada Denmark pada 1993.
"Saya tidak terkejut dengan bagaimana Sweden bermain. Mereka memiliki pemain yang sangat laju dalam serangan balas.
"Mereka mencipta banyak perluang berbahaya dan kami harus menerima keputusan ini walaupun ia agak mengecewakan. Kami perlu meningkatkan persembahan kami dan mencatatkan kemenangan dalam perlawanan akan datang," katanya.
Dalam perlawanan itu, Sepanyol terlebih dahulu di hadapan menerusi gol Carlo Soler pada minit keempat, namun Alexander Isak menyamakan kedudukan seminit berselang sebelum tuan rumah memastikan kemenangan melalui gol Viktor Claesson pada minit ke-57.
Enrique menuntut pemainnya melupakan kekalahan tersebut dan yakin Sepanyol boleh bangkit untuk mencari tiga mata berharga ketika berdepan Georgia Isnin ini.
"kekalahan ini menjadi pengajaran berguna kepada pemain. Saya juga menyedari beberapa kelemahan yang perlu ditambah baik. Kami menguasai perlawanan namun terpaksa dihukum dengan serangan balas pantas lawan.
"Perkara itu yang kami perlu perbaiki untuk perlawanan akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!