Ketua unit jualan bank berdepan sembilan pertuduhan

Tertuduh (tengah) diiring polis di mahkamah.
Tertuduh (tengah) diiring polis di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang ketua unit jualan sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban berasingan pada Jumaat atas sembilan pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk meluluskan pinjaman anggota tentera tiga tahun lalu.

Tertuduh Yuzakri Yazid, 49, bagaimana pun mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin dan tiga pertuduhan di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Mengikut empat pertuduhan, tertuduh telah menggunakan satu dokumen pengesahan perkhidmatan dan jawatan(Jabatan Arah Urusan Gaji Anggota Tentera Malaysia, Ugat) sebagai tulen yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah dokumen palsu.

Lima lagi pertuduhan atas kesalahan menggunakan sebagai tulen satu dokumen 'early settlement quote' (Koperasi Tentera) yang berjumlah masing-masing RM8,067.78, RM4346.96, RM77,891.91, RM20,098.60 dan RM18,192.82.

Perbuatan itu dilakukan pada 16 Oktober 2018 dan 26 Oktober 2018 di cawangan Bank Simpanan Nasional di Jalan Datuk Bandar Tunggal, Seremban.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Jika disabit bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan jaminan RM21,500 bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes 20 September 2021.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman dan Nor Hafiza Harun, manakala tertuduh diwakili peguam Ardelliza Izmaryanti Shafiei.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!