'Penduduk beri tempoh seminggu buka jalan baharu'

Penduduk menggambarkan kerosakan jalan lama ini seperti 'perangkap maut' apabila kerap berlaku kemalangan dan mengelirukan.
Penduduk menggambarkan kerosakan jalan lama ini seperti 'perangkap maut' apabila kerap berlaku kemalangan dan mengelirukan.
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk Kampung Lombong Seksyen 29, di sini memberi tempoh seminggu kepada pihak berwajib untuk membuka jalan baharu di jalan utama kampung berkenaan berikutan jalan lama yang rosak teruk sehingga mengancam nyawa pengguna jalan berkenaan.

Wakil penduduk, Datuk Azman Idris, 53, berkata, penduduk setempat menggambarkan kerosakan jalan lama itu seperti 'perangkap maut' apabila kerap berlaku kemalangan dan mengelirukan pengguna kerana tiada tanda amaran disediakan.

Menurutnya, penduduk amat kecewa dan tercabar dengan perkembangan kerja-kerja menaik taraf jalan Kampung Lombong yang hanya sepanjang 3.6 kilometer sahaja tetapi masih belum dapat disiapkan walaupun sudah bermula sejak tahun 2016 lagi.

"Tukar sebelah sana (jalan baharu) baiki sebelah sini (jalan lama) dan sebaliknya tapi jalannya masih belum juga siap sehingga menyebabkan banyak kemalangan dan turut menyebabkan kerosakan pada kenderaan yang menggunakan laluan utama ini.

"Hari ini kami berkumpul untuk menyeru pihak berwajib termasuk wakil rakyat agar segera menyiapkan projek ini sebab sudah lima tahun berlalu, banyak mana lagi nyawa hendak dikorbankan dan dikejarkan ke hospital," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Azman berkata, sebagai langkah sementara, penduduk sudah berbincang dan membuat permohonan kepada Jabatan Kerja Raya untuk meminta kontraktor agar membuka bahagian jalan yang sudah dibaiki untuk kegunaan lalu lintas.

"Namun sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil pihak berwajib dalam masa tujuh hari bermula esok (Sabtu) penduduk sekali lagi ingin menegaskan bahawa mereka akan membawa jentolak sendiri dan buka jalan yang sudah siap ini," tegasnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ismail Mohamad, 64, berkata, mereka kesal kerana rungutan demi rungutan diutarakan sejak sekian lama dipandang sepi pihak berwajib malah sudah banyak nyawa terkorban akibat kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kenderaan pengguna yang mengalami kerosakan ketika melalui jalan berkenaan juga ditempatkan di satu sudut di bahagian tepi kediamannya kerana tidak lagi dapat digunakan oleh pemiliknya termasuk kenderaan miliknya sendiri.

"Sampai bila penduduk dan pengguna lain yang menggunakan laluan ini perlu mengeluarkan kos baik pulih kenderaan mereka. Kalau rosak sikit mungkin dapat diatasi namun jika membabitkan kerosakan pada bahagian utama kenderaan bagaimana," soalnya.

Jalan tersebut merupakan satu-satunya laluan penduduk Kampung Lombong ke Puchong, Saujana Putra, Kuala Langat, Klang atau ke Shah Alam.

Walaupun terdapat jalan baharu yang dibina bersebelahan laluan sedia ada, namun sehingga kini ia masih belum dibuka dan penduduk juga tidak mengetahui bila jalan tersebut dapat beroperasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!